Ahad, Februari 28, 2010

Menyusuri Sirah Nabi Muhammad SAW

Baru sahaja berlalu tarikh 12Rabiulawal 1431H, tarikh keramat sambutan ulang tahun kelahiran insan paling mulia pernah ada dan akan ada di dunia, junjungan mulia, penutup serta penghulu sekelian Anbia' dan Mursalin. Bagindalah yang diberi nama Muhammad SAW. Insan yang kerana adanya baginda, adanya agama kita Islam yang kita anuti. Dengan adanya Baginda, dunia seluruhnya menerima rahmat dan cahaya kebenaran dari Allah SWT.

Masyarakat Mesir meraikan Maulidurrasul SAW dengan mengadakan haflah-haflah (majlis-majlis) keramaian yang mana di dalamnya dibacakan Qasidah dan puisi mengingati Nabi Muhammad SAW. Lebih penting dari itu, ceramah-ceramah dari tokoh-tokoh Ilmuan Islam juga diadakan. Saya sempat mengikuti beberapa ceramah sempena Maulidurrasul SAW, antaranya ceramah dari Sheikh Habib Omar Zain Al-Yamani, khutbah Jumaat dari Sheikh Yusri Rusydi Sayyid Al-Jabr Al-Hasani (seorang doktor pakar bedah, mendapat kelulusan untuk mengajar di Masjid Al-Azhar Asy-Syarif), ceramah dari Sheikh Dr. Usamah Al-Azhari (Sheikh Azhar), dan ceramah Sheikh Dr. Jamal Farouq (Sheikh Azhar). Berikut merupakan beberapa perkara yang dapat saya simpulkan dari ceramah-ceramah tersebut.

1 - Menyambut Maulidurrasul bukanlah suatu yang haram di sisi Islam. Ia tidak termasuk dalam takrifan Bid'ah yang disebut dalam Hadis Rasulullah SAW. Ia merupakan salah satu cara kita menzahirkan kecintaan dan keimanan kita kepada Nabi Allah Muhammad SAW. Tiada pengharaman Maulidurrasul di sisi agama, dan jika dibandingkan dengan keperluan menyambutnya dalam masyarakat zaman sekarang dari segi psikologi, kemasyarakatan, dan tuntutan sebagai seorang Muslim, maka ia akan menjadi sangat digalakkan. Mengikut Sheikh Habib Omar Zain Al-Yamani, mereka yang mengaku mencintai Nabi Muhammad SAW tetapi tidak meraikan hari kelahirannya, maka dia seorang pendusta. Keperluan menyambutnya juga amatlah penting. Jika tiada sambutan Maulidurrasul, maka berapa ramaikah antara Umat Islam yang akan pergi mendengar ceramah-ceramah berkaitan Sirah Nabawiah, dan berapa ramai pula yang akan mengingati dan mendalami Sirah Nabi SAW? Maka semakin jauhlah masyarakat dengan Nabi Muhammad SAW. Selain itu, Maulidurrasul ialah hari yang mana dengan adanya, barulah wujud hari-hari kebesaran Islam yang lain seperti Lailatul Qadr, Aidilfitri, dan lain-lain.

2 - Masyarakat zaman kini sudah terlalu jauh dengan Nabi Muhammad SAW. Bukan sahaja dari sudut waktu yang jauh, tetapi lebih tepat lagi dikatakan sanubari masyarakat tidak lagi menuju ke arah kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW. Boleh dikira dengan jari berapa ramai masyarakat yang telah menghafal 1 hadis Nabi Muhammad SAW dalam bahsa Arab. Berapa ramai pula yang membaca (hanya membaca sahaja) 1 terjemahan Hadis Nabi Muhammad SAW dalam sehari? Ditambah pula, kecintaan masyarakat umum kepada Nabi Muhammad SAW di Malaysia sekarang ini bermusim. Apabila Nabi SAW dihina, mereka bangkit mengaku sebagai pembela Nabi Muhammad SAW (contohnya isu karikatur Denmark), tetapi apabila tiada isu, Nabi Muhammad SAW seolah-olah tiada dalam hidup mereka. Ini dapat dilihat pada golongan-golongan yang hidupnya tidak mengikut panduan yang telah Nabi SAW wariskan kepada kita, iaitu ISLAM, atau menganggap ISLAM itu tidak sempurna dan perlu diubah dan diperbetul (golongan Islam Liberal, Pluralis, ajaran sesat, dll). Maka Maulidurrasul sepatutnya dijadikan titik tolak atau 'turning point' ke arah mencontohi Nabi Muhammad SAW dan mendekatkan diri dengan Baginda SAW.

3 - Ramai Umat Muhammad yang mengaku mencintai Baginda, tetapi tidak ramai yang sanggup untuk mengorbankan diri untuk benda paling berharga yang diwarisi dari Baginda iaitu agama Islam. Mengaku mencintai Baginda, tetapi Sunnahnya tidak diikuti. Mengaku mencintai Baginda, tetapi maksiat dan perkara dibenci tetap dilakukan. Mengaku mencintai Baginda, tetapi apabila ditanya tentang Sirah kehidupan Baginda, sedikit pun mereka tidak tahu. Ini hanyalah jawapan yang telah di'program' dalam otak kita untuk menjawab 'Ya' apabila ditanya tentang kecintaan terhadap Baginda, tetapi kecintaan tersebut tidak sedikitpun terzahir melalui amalan. Maka perbanyakkanlah diri kita mengikut amalan-amalan Sunnah Rasulullah SAW, dari sekecil-kecil Sunnah hinggalah Sunnah terbesar.

4 - Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW merupakan pembersih hati sanubari kita (bukan hati fizikal atau nama Inggerisnya Liver). Maka, perbanyakkanlah selawat kita ke atas Baginda. Ia juga merupakan tuntutan Al-Quran Al-Karim. Maka, mulakanlah diri kita membuat apa-apa amalan harian bersempena dengan Maulidurrasul(contohnya selawat 100x setiap hari, atau membaca satu Hadis setiap hari), dan teruskanlah amalan tersebut hingga akhir hayat. Dengan cara ini, setiap kali kita menyambut Maulidurrasul, akan ada kesan yang berpanjangan kepada diri kita.

5 - Perjuangkanlah hak kita dalam harta pusaka Rasulullah SAW. Sesungguhnya Anbia' dan Mursalin tidak mewariskan harta kepada Umat kemudian hari, mereka semua mewariskan Ilmu. Maka, berusahalah menuntut ilmu, dan berusahalah mengamalkannya sebaik mungkin. Selalunya usaha menuntut ilmu adalah lebih mudah dari usaha untuk mengamalkannya, contohnya mudah bagi kita untuk tahu bahawa berpasangan antara lelaki dan perempuan ajnabi itu Haram, tetapi susah bagi kita untuk menjauhinya. Ramai yang tahu rasuah itu Haram(Hadis menyebut perasuah dan pemberi rasuah dala neraka), tetapi berapa ramai yang peka dengannya. Contohnya apabila ditahan Polis Trafik di tepi jalan, dialog yang selalu berlaku ialah "nak settle sini ke nak settle balai?". Jika dibesarkan konteksnya seperti di mahkamah, pengedar dadah memberi duit kepada hakim untuk melepaskannya dari hukuman, bukankah kedua-dua situasi ini sama tetapi orang dan jumlah wang sahaja berbeza?


Mudah-mudahan daripada 5 kesimpulan saya ini, kita dapat sama-sama mengambil sesuatu yang berguna. Mudah-mudahan Allah menjadikan kita golongan yang mendengar perkataan dan mengambil yang baik daripadanya, dan menjadikan kita dari ahli-Nya dan dari ahli syurga-Nya, mendapat syafaat Nabi-Nya yang mulia.

Pupuklah rasa kecintaan kita terhadap Junjungan Mulia dan Tercinta Baginda Muhammad SAW. Ikutilah Sunnahnya, jauhilah perkara yang dibencinya. Rebutlah warisannya, cintailah ahli keluarganya yang masih hidup di dunia. Hayatilah sirahnya, perjuangkanlah agamanya, mudah-mudahan kita dapat bersamanya di akhirat nanti.

Saya akhiri kalam ini dengan sedikit terjemahan bait dari puisi-puisi yang saya dengar sepanjang Maulidurrasul SAW tahun ini.

Nabi Mukjizat, Nabi Karamah,
Namamu dalam azan, namamu dalam Iqamah.

Wahai Imam Rasul-rasul,
Dikaulah insan selepas Allah yang menjadi pemutus,
Berkaitan duniaku dan akhiratku,
Wahai Rasuullah, ambillah tanganku,
dan pimpinlah aku menuju Syurga-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan