Selasa, Mac 11, 2014

KRITIK DAN KAEDAHNYA YANG SYAR’IE


Ringkasan dari kitab Tasawwur Asasi Gerakan Islam (Anjadiyyat Tasawwur Al-Haraki lil-amal al-Islami) tulisan Ustaz Fathi Yakan.

PENGENALAN

Manusia tidak boleh lari dari berbeza pendapat. Ia merupakan sesuatu yang biasa. Dari zaman Nabi Muhammad SAW sehingga hari ini, perbezaan pendapat pasti akan ada. Kritik atau apa yang dinamakan dalam Al-Quran “At-Tawasi bil-haq” (berpesan-pesan pada kebenaran) ialah kewajipan Syar’ie seseorang Muslim apabila dia melihat sesuatu keaiban atau penyelewengan.

SYARAT-SYARAT KRITIKAN

Islam mewajibkan Muslim berpesan-pesan kepada kebenaran, tetapi ia dilaksanakan dengan beberapa syarat:
1-Siasat kebenaran.
2-Siasat tujuan.
3-Siasat cara untuk menyampaikan kritikan.
4-Siasat tajuk.
5-Lapang dada.

1-SIASAT KEBENARAN.

Saudara Muslim hendaklah menyelidik terlebih dahulu kebenaran sesuatu berita dan khabar sebelum ia mengkritik. Banyak khabar angin yang tidak benar sama sekali. Sesuatu kritik tidak boleh dibuat berdasarkan syak dan sangkaan, tetapi mestilah ada bukti-bukti kukuh dan dalil-dalil yang Qat’ie. Maksud Hadis Nabi Muhammad SAW: “Jauhilah kamu dari sangkaan kerana sangkaan itu adalah cakap yang paling bohong.” (Bukhari)

2-SIASAT TUJUAN.

Dimaksudkan di sini ialah saudara pengkritik hendaklah mengkaji rancangan-rancangan yang mendorong ia mengkritik, kerana ditakuti rancangan-rancangan itu didorong oleh hawa nafsu seperti hendak membalas dendam, menghina, atau tujuan-tujuan jahat. Saudara Muslim mestilah segera menghentikan kritikannya sekiranya rangsangannya itu tidak jelas dalam dirinya dan sekiranya dia merasa perbuatannya itu bukan didorong oleh niat mencari keredhaan Allah SWT dan untuk kepentingan Islam.

3-SIASAT CARA-CARA UNTUK MENYAMPAIKAN KRITIKAN.

Saudara Muslim hendaklah menyiasat dan mencari cara terbaik untuk menyampaikan kritikan, baik dari segi medium penyampaian mahupun pemilihan perkataan yang digunakan. Syarat memberi peringatan ialah menasihati pada kebenaran dan bukan kebatilan.

Adalah lebih baik nasihat itu diberi secara berseorangan, kerana cara ini lebih berkesan dalam dirinya dan lebih selamat dari dipengaruhi syaitan. Lebih baik saudara Muslim menyampaikan kritikan dengan adab, sopan dan merendahkan suara. Pilihlah perkataan yang baik.

Berkasar dan lepas cakap dalam kritik dan memberi nasihat membawa kepada penutupan pintu hati dan telinga. Sementara lemah lembut dapat membuka perasaan untuk mendengar nasihat dan dapat memberi kesan di jiwa. Dengan ini terlaksanalah kebaikan yang disebabkannya dituntut memberi nasihat.

4-SIASAT TAJUK.

Kepada pengkritik, hendaklah ia mengemukakan dalil Syara’ dalam nasihatnya agar dapat menguatkan pendapatnya dan sudut pandangannya. Perbincangannya dengan saudaranya hendaklah dengan tajuk yang sesuai dan sederhana, jauh dari meyimpang dan keterlaluan supaya perkara itu tidak bertukar kepada pertengkaran dan perbahasan serta tidak dikongkong oleh perasaan dan nafsu atau dipermainkan oleh syaitan. Dikhuatiri rosak Ukhuwwah yang terbina antara ahli Jemaah.

5-LAPANG DADA.

Akhir sekali, Muslim yang memberi dan menerima nasihat kedua-duanya hendaklah bersikap sabar dan lapang dada. Hendaklah ia menjadi pemangkin untuk kedua-duanya mendapatkan keredhaan Allah SWT lebih-lebih lagi dalam berpegang teguh kepada kebenaran. Sama sekali tidak boleh memenangkan satu pihak dan menjatuhkan satu pihak lagi.

Wallahua’lam...

Isnin, Februari 10, 2014

POLITIK ISLAM MENOLAK MACHIAVELLIANISM

Politik merupakan salah satu aspek penting dalam kehidupan. Melaluinya, kita diberi peluang menyuarakan pandangan dalam memilih pimpinan yang akan menguruskan dan mentadbir hal-ehwal negara. Islam menganjurkan kita memilih pemimpin walaupun dalam pemusafiran seramai 3 orang. Dalam dunia kontemporari, politik dan demokrasi menjadi wasilah paling sesuai dalam menentukan siapa pemimpin.Saya yakin tiada siapa yang menafikan kepentingan politik dalam sesebuah negara.

Realiti dunia politik kontemporari, ramai aktivis politik dilihat begitu ghairah mengejar kekuasaan dan pengaruh sehinggakan menggunakan pelbagai cara yang tidak berlandaskan syariat Islam dan tidak menepati etika moral dan kemanusiaan. Inilah yang dipanggil “Machiavellianism”. Bahasa mudahnya, matlamat menghalalkan cara. Demi jawatan, apa sahaja cara boleh digunakan.

Machiavellianism tidak dibenarkan dalam Islam. Kaedah Fiqh Islam menyebutkan [الغاية لا تبرر الوسيلة] yang bermaksud ”matlamat tidak menghalalkan cara”. Dalam Islam, walaupun ketika sedang berpolitik, Akhlak Islamiah dan adab serta prinsip kemanusiaan tidak boleh dilanggar sesuka hati.

Kita akan sebutkan beberapa perkara yang dilakukan sebagai iktibar untuk kita.

********
1-Politik Samseng.

Bandar Ipoh telah menyaksikan satu peristiwa berdarah di mana Flashmob Kempen Pakatan Rakyat (PR) bertembung dengan Konvoi We Love PM dari Barisan Nasional (BN). Peristiwa yang berakhir dengan pergaduhan antara kedua-dua kumpulan telah menyaksikan beberapa orang cedera ringan. Di Temerloh pula, bungkusan berisi kepala ayam dan darah telah dibaling ke dalam kawasan rumah calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi. Kita juga dapat lihat betapa banyak kes merosakkan poster, samseng datang mengganggu ceramah politik, dan bermacam-macam lagi tindakan ala samseng yang dilaksanakan.



Sebagai Muslim, seharusnya timbul persoalan, “Bagaimana golongan sebegini akan mampu memimpin negara?”. Politik dalam Islam bukan begini, dan di Malaysia tidak sepatutnya begini. Bukanlah siapa samseng itulah hebat dan siapa kuat dialah betul. Ini digelar undang-undang rimba.

Politik samseng haruslah dihentikan.

2-Memfitnah pihak lawan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: dan fitnah itu lebih besar dari pembunuhan (Al-Baqarah: 191)

Kita menyaksikan pra PRU-13 bagaimana budaya politik fitnah semakin berleluasa. Kita dapat lihat kes yang berlaku di mana surat palsu PAS disebarkan. Selain itu, terdapat juga fanpage palsu di Facebook menggunakan nama DS Najib Razak. Di dalam keduanya diletakkan maklumat palsu, arahan palsu, bahkan dibuat sehingga ramai yang menyangka ia tulen.

Dalam Islam, ada perbezaan antara tipu helah dalam peperangan dengan fitnah seperti ini. Lebih-lebih lagi dalam politik zaman sekarang yang menekankan kebebasan bersuara, ketepatan informasi, dan kekuatan hujah, tidak sepatutnya fitnah sebegini dilakukan. Taktik ini dipandang keji dan dianggap kotor oleh masyarakat. Fitnah sebegini mengelirukan rakyat, dan jika penipuan itu terbongkar, boleh menyebabkan penyokong sesebuah parti politik lari dek kerana kotornya tindakan tersebut.

Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

3-Padang pertarungan yang tidak rata.

PRU-13 menimbulkan pelbagai persoalan yang tidak terjawab berkaitan ketelusan dan integriti Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia. Ramai yang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan ketelusan dan keadilan pilihanraya, lebih-lebih lagi Pakatan Rakyat. Yang pasti, tuduhan mereka bukanlah tidak berasas.


Lihat sahaja bagaimana keputusan penjumlahan Borang 14 yang mengelirukan. Lihat sahaja bagaimana dakwat yang dikatakan kekal 5-7 hari hilang dengan basuhan pertama. Bahkan terdapat individu yang mengaku boleh mengundi 2 kali tanpa halangan! Tidak dinafikan sebahagian individu yang mengadu tidak dapat mengundi kerana penyamaran. Begitu juga tuduhan terdapat pengundi hantu atau pengundi ‘import’ dari luar negara dan kes terputus bekalan elektrik yang banyak berlaku. Di Perak, kita menyaksikan bagaimana calon K Vasantha Kumar dan wakil parti (Counting Agent) dihalang dari menyaksikan proses pengiraan undi.


Kita juga dapat lihat bagaimana Pakatan Rakyat dinafikan akses kepada media. Mereka hanya ditawarkan 10 minit untuk membentangkan manifesto mereka, manakala Barisan Nasional telah menggunakan saluran televisyen, akhbar dan radio seluas-luasnya untuk berkempen. Akses media tidak adil ini telah memberikan kelebihan kepada parti pemerintah untuk berkempen menerangkan manifesto, dan menjawab tohmahan pembangkang, manakala pembangkang tidak diberikan peluang yang sama. Kesan akses media tidak adil ini dapat dilihat di kawasan pedalaman. Mereka tidak dapat mengkaji manifesto pembangkang kerana mereka tiada akses internet. Mereka hanya mendapat informasi melalui akhbar, televisyen dan radio sahaja yang semuanya dikuasai oleh parti pemerintah.

Selain itu, ‘gerrymandering’ juga dapat dilihat secara jelas di Malaysia. Gerrymandering ditakrifkan sebagai cubaan mendapatkan kecenderungan kepada sesuatu pihak tertentu melalui proses persempadanan semula kawasan. Graf di sebelah membuktikan bagaimana BN memenangi majoriti mudah dalam Parlimen melalui kerusi-kerusi yang tidak ramai pengundi. Kawasan-kawasan ini sukar dicapai oleh PR kerana akses media yang tidak adil. Justeru, tidak hairanlah pengundi di kawasan ini mengundi Barisan Nasional.

Sebagai Muslim, kita mengharapkan satu padang pertarungan yang rata. Jika dalam sukan kita mahukan pengadil yang adil, apatah lagi dalam satu pertembungan politik yang akan menentukan masa depan rakyat dan negara. Sudah pastinya kita mahukan pertandingan yang adil dan telus.

Kalah dengan bermaruah lebih baik dari menang dengan terhina.

4-Politik Perkauman

Agama Islam menolak jurang sentimen perkauman. Baik ia wujud dalam sukan, politik atau dalam profesyen masing-masing. Justeru, kita menolak sekeras-kerasnya cubaan mana-mana pihak untuk membangkitkan sentimen perkauman untuk meraih undi.

Sejarah tidak menafikan peranan sentimen perkauman ini dalam politik Malaysia. Kita telah diajar di dalam subjek Sejarah bagaimana Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah memisahkan Singapura dari Malaysia kerana Lee Kuan Yew berkempen untuk Parti Tindakan Rakyat (People’s Action Party, PAP) dengan menggunakan sentimen perkauman.


Justeru, cubaan beberapa pihak termasuk akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo (lihat gambar) mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab yang melampau. Adakah sepatutnya mereka sanggup mengorbankan keamanan negara demi kepentingan politik parti tertentu?

Agama Islam menolak Rasism.

5-Penyebaran bahan lucah

Pada tahun 1998, kita digemparkan dengan tuduhan liwat DS Anwar Ibrahim. Tuduhan yang sama diulang pada tahun 2008. Pada tahun 2011, kita digemparkan pula dengan penyebaran video seks Anwar Ibrahim. Pada tahun 2013, kita sekali lagi digemparkan dengan penyebaran video seks Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS. Penafian telah dibuat oleh individu berkaitan.

Namun yang menjadi persoalan di sini ialah di mana nilai kesopanan Melayu yang kita pelihara selama ini? Menyebarkan video lucah di internet untuk tatapan umum bukanlah satu perkara yang baik. Jika benarpun tuduhan tersebut, bukankah lebih baik video tersebut diserahkan kepada pihak polis dan laporan polis dibuat mengenainya? Mengapa harus ia dimuat naik?

Menyebarkan video lucah menggambarkan keruntuhan akhlak Islamiah yang serius. Sebagai Muslim yang berakhlak dan bermoral, kita seharusnya menolak pihak yang melakukan tindakan sebegini dari mendapat mandat memerintah.

6-Khianat.

Islam menyeru umatnya supaya memenuhi perjanjian walaupun perjanjian tersebut dilakukan dengan non-Muslim.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; Sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.(An-Nahl:91)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.(Al-Hajj:38)

Kita dapat lihat sebahagian individu yang telah berjanji untuk berpakat dengan pihak lain mengkhianati perjanjian semata-mata untuk mencari keuntungan peribadi atau parti sendiri. Ada yang setelah berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat sepanjang tempoh penggalnya, telah meletakkan jawatan sesuka hati. Ada pula yang mengambil langkah mengkhianati kepercayaan rakyat dengan melompat parti.

Kita harus sedar bahawa sifat Khianat ini bukan sahaja diharamkan oleh Islam, bahkan nilai moral kemanusiaan juga menolaknya. Sifat ini merupakan sifat keji yang dikaitkan dengan golongan Munafiq. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, ”tanda Munafiq itu 3, apabila berkata dia berbohong, apabila berjanji dia mungkiri, apabila diberi kepercayaan dia khianati.”

Jika rakan politik pun dia sanggup khianati, rakyat bawahan apatah lagi?

********
Melihat Machiavellianism yang berleluasa ini, maka apa harapan dan tindakan kita selaku Muslim? Beberapa tindakan yang boleh saya sebutkan di sini ialah:

1-Menolak & menentang mana-mana pihak yang mengamalkan Machiavellianism.

Mana-mana individu, parti atau gabungan parti yang mengamalkan Machiavellianism haruslah ditolak. Mereka yang mengamalkan prinsip ini tidak boleh dipercayai untuk memegang tampuk pemerintahan. Tiada jaminan mereka tidak akan membodohkan rakyat apabila mereka berkuasa. Tiada jaminan mereka ini tidak akan menindas rakyat sekiranya mendapat kuasa untuk kepentingan diri atau parti.

Mereka ini ibarat penjenayah yang berselindung di balik nama demokrasi untuk menghalalkan jenayah mencuri, mengugut dan samseng mereka. Mencuri yang dimaksudkan ialah menggelapkan duit rakyat. Mengugut dalam konteks politik Malaysia ialah mendiamkan pihak yang tidak sependapat dengan mereka melalui undang-undang bersifat kuku besi, penggunaan angkatan bersenjata, penarikan bantuan kewangan dan lain-lain untuk kepentingan politik. Samseng dari segi tindakan apabila pihak yang berbeza pendapat dinafikan bukan dengan hujah, tetapi ditentukan melalui prinsip ‘siapa kuat dia betul’.

2-Perbandingan ilmiah dan politik hujah.

Di alam pelajar, kita dilatih untuk berdebat untuk menyampaikan idea kita. Sejak zaman sekolah rendah lagi, guru-guru mencari, melatih dan menghantar bakat-bakat pendebat ini untuk pelbagai pertandingan yang diadakan di peringkat zon, daerah, negeri dan kebangsaan.

Namun sayangnya, apabila mereka meningkat dewasa dan masuk ke kancah politik, bakat yang ada ini disia-siakan. Tiada arena debat yang luas yang membolehkan mereka menyampaikan idea dan pemikiran kepada seluruh rakyat Malaysia. Amatlah rugi kerana sebelum PRU-13, tiada debat antara manifesto BN dan PR dijalankan untuk rakyat membandingkan. Mahasiswa mengharapkan untuk PRU-14, akan diadakan debat antara calon Perdana Menteri Malaysia, misalnya antara DS Najib Razak melawan DS TG Haji Abdul Hadi Awang.

3-Padang pertarungan sama rata

Kita mahukan keadilan dalam pertarungan dan perlumbaan. Kita mahu PRU-14 dan seterusnya diadakan dalam keadaan yang adil untuk semua pihak. Kita mahu akses media yang lebih adil untuk kita menilai secara terbuka antara semua pihak yang bertanding. Kita mahu tiada salahguna aset kerajaan untuk kepentingan mana-mana parti. Kita mahu calon bertanding dan menang atas kredibiliti dan kualiti yang ada, bukan kerana kroni.

4-Bebaskan SPR dari Jabatan Perdana Menteri

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) haruslah dibebaskan dari sebarang pengaruh politik dan dapat menjalankan pilihanraya secara adil & telus. Dengan meletakkan SPR di bawah Jabatan Perdana Menteri, tidak dapat tidak ia akan dipengaruhi oleh parti pemerintah. SPR harus diletakkan di bawah satu entiti non-partisan seperti Majlis Raja-raja Melayu dan dibebaskan sepenuhnya dari pengaruh parti politik, baik pemerintah atau pembangkang.

5-Campurtangan Majlis Raja-raja

PRU-13 dilihat sebagai PRU paling kotor kerana terdapat berbagai-bagai aduan mengenai kredibiliti SPR. Jika aduan ini dibiarkan tanpa tindakan, rakyat yang kecewa dengan keadaan ini mungkin akan turun ke jalanan mengadakan demonstrasi, dan mungkin juga revolusi. Jika ini berlaku, keamanan & kestabilan negara sudah pastinya terjejas. Bahkan ia boleh mencetuskan perang saudara yang akan menghancurkan negara. Justeru, kita mahu campurtangan Majlis Raja-raja dalam memastikan PRU-14 dan seterusnya dijalankan secara adil dan telus.

6-Kebebasan menyokong dan membangkang dalam konteks Islam.

Malaysia diiktibarkan sebagai negara demokrasi. Justeru, kebebasan rakyat untuk memilih, dan menyokong mana-mana parti dan calon haruslah ada. Tidak adil sekiranya rakyat hanya dibenarkan menyokong parti pemerintah. Tidak demokratik juga sekiranya individu yang menyokong parti pembangkang ditarik bantuan, dibuang kerja dan dinafikan hak sebagai rakyat Malaysia. Dalam masa yang sama, kita tidak menafikan keperluan untuk membataskan kebebasan bersuara ini supaya tiada kebebasan dalam menimbulkan sentimen perkauman atau penyebaran ideologi yang terpesong seperti ideologi Komunis.

********

Apa yang berlaku hari ini menjadi iktibar buat aktivis politik dan kita selaku generasi pelapis kepimpinan negara akan datang. Jika Machiavellianism ini dibiarkan berterusan, negara Malaysia juga yang akan hancur. Maka, Machiavellianism haruslah dihentikan, dan politik Islam yang sihat harus disuburkan.

JOM CAKNA POLITIK.

Khamis, Januari 09, 2014

RAHMAT UNTUK SEMUA; PRINSIP ISLAM DALAM BERINTERAKSI DENGAN NON-MUSLIM


MUQADDIMAH

Islam diturunkan melalui Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat untuk seluruh alam. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutuskan kau (wahai Muhammad) kecuali sebagai rahmat kepada seluruh alam.”

Tema PAS "Rahmat Untuk Semua" dilihat sangat bertepatan dengan keadaan masyarakat majmuk di Malaysia. Saya melihat ini satu usaha yang sekiranya berjaya, mampu mengubah lanskap Malaysia ke arah yang lebih baik. Melalui tema ini, PAS yang dilihat sebelum ini sebagai “parti Islam konservatif” dalam kalangan non-Muslim, boleh mengorak langkah dengan menghulurkan tangan perhubungan antara Muslim dan non-Muslim di Malaysia.

Dalam berurusan dengan non-Muslim, ada beberapa prinsip yang perlu dijaga. Prinsip ini digariskan supaya kita tidak melampau dalam mengajak mereka memeluk Islam, dalam masa yang sama tidak mengeksklusifkan rahmat yang dibawa Islam kepada bangsa Melayu sahaja.

1-KETIDAKPAKSAAN DALAM MEMELUK ISLAM

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud: “Tiada paksaan untuk menganut Islam, sesungguhnya telah jelas kebenaran dari kesesatan.”

Islam tidak mengajar penganutnya memaksa non-Muslim untuk menganut Islam, walaupun ketika Islam sedang berkuasa. Islam menyeru umatnya mengajak mereka kepada Islam dan menerangkan tentang Islam, namun Muslimin tidak sekali-kali dibenarkan untuk memaksa mereka menganut Islam. Ini kerana hidayah milik Allah SWT yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan bukannya secara paksaan. Memaksa non-Muslim menganut Islam hanya akan membuatkan mereka mengaku Muslim tetapi tidak membenarkan dengan hati.

Justeru, PAS tidak akan sama sekali memaksa non-Muslim memeluk Islam. PAS sudah pastinya perlu menjaga hak setiap individu untuk memilih samada mahu memeluk Islam atau kekal dalam agamanya.

2-KEADILAN

Islam menuntut umatnya berlaku adil kepada sesiapa walaupun terhadap non-Muslim. Lebih-lebih lagi kepada ahli Zimmah sehingga Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menyakiti ahli zimmah, maka aku akan jadi pembelanya. Dan sesiapa yang memusuhi ahli Zimmah, maka aku akan memusuhinya.”

Islam telah menetapkan bahawa rakyat berstatus Zimmi yang ada di negeri Islam atau mana-mana negeri di bawah naungan Islam mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama dengan Muslimin. Tentera Daulah Islam juga wajib berperang melindungi mereka sama seperti mereka berperang melindungi Muslimin. Begitu juga dalam menghukum, hakim haruslah menyelidik dengan mendalam semua kes antara Muslim dan non-Muslim yang dihadapkan kepadanya supaya tiada non-Muslim yang dizalimi.

Rasulullah SAW pernah berdiri kerana menghormati jenazah Yahudi kerana Baginda SAW menganggap dia juga seorang manusia. Rasulullah SAW juga menghormati hari kebesaran Yahudi iaitu hari Sabtu dan menegaskan bahawa mereka tidak akan diganggu pada hari tersebut. Dalam peperangan, tentera Islam diharamkan merobohkan rumah ibadah. Sayyidina Ali KW ketika beliau sedang menjadi Khalifah, telah membawa isu kehilangan baju besinya yang dilihat ada di tangan seorang lelaki bukan Islam kepada Qadhi Syuraih. Beliau seorang Khalifah telah menyerahkan penghukuman urusannya kepada Qadhi kerana ingin mengelak dari menzalimi lelaki tersebut. Ini merupakan antara contoh-contoh bagaimana pemerintah yang mengamalkan Islam sebenar tidak akan sesekali menzalimi penganut agama lain.

3-BERTOLAK-ANSUR

Banyak peristiwa dari Sirah Nabawiyyah yang menggambarkan toleransi Baginda Nabi Muhammad SAW terhadap non-Muslim. Prinsip ini telah diterapkan samada dalam keadaan peperangan ataupun aman.

Antara bukti toleransi Rasulullah SAW terhadap non-Muslim ialah ketika perjanjian Hudaibiah. Selain itu, ia juga terbukti atas tindakan Nabi Muhammad SAW ke atas seorang perempuan yang cuba meracuninya, dan seorang lelaki Yahudi yang menyihirnya. Rasulullah SAW bukan sahaja tidak menghukum mereka berdua, bahkan memaafkan mereka.

Sesungguhnya Islam tidak mengajar umatnya untuk mengasingkan diri dari non-Muslim, sehingga mereka menjadi terpulau, renggang dan terasing. Tetapi bagi agama Islam, ahli Zimmah itu seharusnya diselubungi suasana perkongsian sosial, belas kasihan, kesopanan, serta percampuran sehingga mereka merasa selesa dan tidak asing untuk tinggal dalam masyarakat Muslimin.

Bukankah ini satu bentuk dakwah kita kepada mereka juga?

4-MENEPATI JANJI

Islam menegaskan kepada umatnya supaya menepati sebarang janji yang dilakukan walaupun kepada non-Muslim. Dalam Sirah Nabawiah, tidak pernah berlaku situasi di mana Nabi Muhammad SAW melanggar perjanjian, walaupun terhadap non-Muslim. Allah SWT memerintahkan Umat Islam supaya menyempurnakan perjanjian dengan non-Muslim yang menghormati perjanjian tersebut. Firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat 4 yang bermaksud: “Kecuali orang-orang Musyrikin yang kamu telah mengadakan perjanjian dengan mereka, kemudian mereka tidak mengurangi sesuatupun dari perjanjian kamu, dan tidak membantu sesiapa yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah janjimu kepada mereka sehingga habis waktunya.”

Tuntutan memenuhi perjanjian ini adalah dengan syarat pihak bukan Islam juga memenuhi syarat perjanjian tersebut. Sekiranya pihak bukan Islam menjadikan perjanjian tersebut sebagai helah untuk merancang penipuan dan pengkhianatan, maka Muslimin berhak membatalkan perjanjian tersebut. Adapun jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka umat Islam diperintahkan supaya cenderung kepadanya juga.

Harus dibezakan perjanjian dan memberi kesetiaan. Memberi kesetiaan kepada non-Muslim adalah dilarang, namun mengadakan perjanjian dengan mereka adalah dibenarkan. Antara contoh PAS mengadakan perjanjian dengan non-Muslim di Malaysia ialah Tahalluf Siyasi bersama DAP dalam Pakatan Rakyat.

5-RAHMAH DAN KEBAIKAN

Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu dari berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu dan tidak mengusirmu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil. (Surah Al-Mumtahanah:8)

Tiada halangan untuk umat Islam berbuat baik dan berlaku adil kepada non-Muslim. Bahkan, Islam menggesa umatnya melayan mereka dengan baik. Antara contoh:

Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah memberikan satu bahagian dari Masjid Nabawi kepada utusan Najran yang beragama Nasrani untuk mereka bersembahyang di dalamnya. Begitu juga ketika datang perwakilan non-Muslim dari Bani Thaqif untuk bertemu Nabi SAW, Baginda membina khemah untuk mereka dalam kawasan masjid. Nabi SAW juga pernah berpesan supaya menjaga hak jiran tetangga walaupun bukan Muslim.

Dalam perkara ini, Islam menyeru supaya berbaik dengan non-Muslim, dengan syarat mereka tidak merendahkan dan menghina Akidah dan Syiar Islam. Justeru, selagi mana mereka tidak memulakan serangan ke atas kita, kita tidak seharusnya memulakan sebarang bentuk permusuhan dengan mereka. Jika mereka memulakan serangan, kita haruslah membalas namun tidak dibenarkan berlebih-lebihan.

6-POLISI KEAMANAN DAN KESEJAHTERAAN

Islam merupakan agama keamanan dan kesejahteraan. Allah SWT tidak membenarkan umat Islam memerangi kaum non-Muslim yang tidak memerangi mereka. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 90 yang bermaksud: “Tetapi jika mereka membiarkan kamu, dan tidak memerangi kamu, serta menawarkan perdamaian kepadamu, maka Allah SWT tidak memberi jalan untuk kamu ke atas mereka.” Islam juga mengarahkan penganutnya melindungi Musyrikin yang meminta perlindungan dengan umat Islam.

Di antara tatacara kamu Muslimin ialah sekiranya suatu kaum itu masih belum sampai dakwah Islam kepada mereka, tidak dibolehkan memerangi mereka kecuali setelah menyeru mereka kepada Islam dan mereka diberi pilihan. Jika sekalipun telah disampaikan dakwah, sebahagian Fuqaha menggalakkan dipastikan dakwah bagi menegakkan hujah serta menerima keuzuran mereka.

PAS masih lagi mengekalkan pendekatan “muwajahah silmiah” atau “pendekatan aman” yang diamalkan sejak sekian lama. Pendekatan ini haruslah dikekalkan dalam konteks keadaan semasa umat Islam.

7-MENCARI TITIK PERSAMAAN TERLEBIH DAHULU

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 64 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah SWT, dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu apa pun, dan jangan sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah SWT.”

Ayat di atas memberi satu kaedah dalam menyampaikan dakwah kepada non-Muslim iaitu dengan mencari titik persamaan. Antara titik persamaan antara Muslim dengan non-Muslim di Malaysia ialah rakyat Malaysia sama-sama terbeban dengan kenaikan kos sara hidup, kenaikan kadar jenayah, ketirisan kewangan negara, kezaliman pemerintah, dan isu kejelikan pemimpin negara yang tidak pernah selesai. Muslim dan non-Muslim membenci perkara ini, justeru dalam menyampaikan Rahmat Islam kepada semua, PAS seharusnya menjuarai isu-isu ini dan menjelaskan apa sebenarnya cara Islam dalam menyelesaikan isu-isu ini.

Justeru, apabila dibangkitkan tentang peningkatan kadar jenayah, PAS harus menerangkan tentang bagaimana hukum-hukum jenayah mengikut sistem perundangan Islam dan kelebihan-kelebihannya berbanding sistem yang ada. Begitu juga apabila bangkit isu ekonomi, PAS harus menerangkan bagaimana sistem ekonomi Islam lebih baik berbanding sistem ekonomi negara sekarang. Dan begitulah seterusnya. Dengan cara inilah kita akan mampu menarik non-Muslim ke arah Islam dan hukum-hukumnya.

8-BERDEBAT DENGAN CARA YANG BAIK

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl ayat 125: “Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan berhujahlah dengan mereka dengan cara yang baik.”

Islam mensyaratkan kita supaya berhujah dengan cara yang baik. Ini lebih memberi kesan positif kerana dengan berbuat demikian, non-Muslim tersebut akan lebih yakin dengan Islam, dan bukan hanya sekadar mengikut-ikut atau terpaksa.

Dalam berdakwah dengan cara ini, PAS harus menerangkan kekeliruan mereka tentang Islam, dan menunjukkan kekurangan agama dan anutan lain berbanding Islam.

PENUTUP

Pemilihan tema Rahmat Untuk Semua dilihat sebagai satu usaha yang sangat positif ke arah membina jambatan antara agama di Malaysia dalam usaha kita membawa non-Muslim kepada Islam. Justeru, saya sangat mengalu-alukan usaha ke arah ini dan mengharapkan jurang dan batasan yang telah sekian lama terbina antara kaum di Malaysia dapat didekatkan, dan kita dapat menyampaikan keindahan Islam kepada non-Muslim di Malaysia.

Semoga semua pihak bersama menjayakannya.