Khamis, Oktober 29, 2009

Antara tawadhu’ dan keyakinan diri

Dalam satu khutbah Jumaat dari sebuah masjid di sini baru-baru ini, khatib bercerita tentang satu tajuk yang semua tahu tentangnya, tetapi sangat sedikit yang mengamalkan, iaitu tawadhu’. Sikap tawadhu’ ini merupakan salah satu daripada sifat-sifat terpuji Nabi Muhammad SAW. Terdapat riwayat yang menyebut bahawa Nabi SAW memeluk dan mengusap kepala kanak-kanak yang sedang bermain di jalanan. Selain itu, ada juga riwayat menyebut Nabi SAW terjumpa seorang khadam menangis di tepi jalan, maka Nabi SAW melayan keperluan khadam tersebut hingga bertemu tuannya. Ini merupakan sifat seorang pemimpin sejati yang telah hampir pupus di zaman ini. Mudah-mudahan kita semua dapat mencontohi sifat Nabi SAW ini.

Apa yang saya ingin bincangkan di sini ialah sifat kurang keyakinan diri yang melanda kebanyakan pelajar-pelajar Melayu khususnya, dan Malaysia amnya. Contoh yang mudah saya ambil ialah menjadi imam solat. Orang Melayu jika disuruh menjadi imam solat, sedikit sahaja yang akan ke depan dengan rela. Selebihnya pasti akan berkata, “tak mahulah”, ”seganlah”, ”orang lain lebih layak”, dan bermacam lagi jenis alasan. Jika di Mesir, pelajar-pelajar Melayu merupakan antara golongan yang paling tidak bertanya dalam kuliah. Jika ditanya faham atau tidak, mereka kata tidak, tetapi mereka tiada keyakinan diri untuk bertanya dengan pensyarah, sedangkan apa yang patut berlaku adalah sebaliknya.

Kelemahan ini jika tidak dibaiki, akan menjejaskan mutu diri kita sebagai pekerja apabila dewasa nanti. Bayangkan seorang ustaz yang mengajar di sekolah malu untuk menjadi imam. Atau seorang penceramah malu untuk memberi ceramah. Ini merupakan satu perkara yang sangat memalukan dan mengaibkan. Terlampau merendah diri akan menyebabkan dakwah terhenti. Terlalu rendah diri akan menyebabkan kita hilang daya saing, dan seterusnya hilang penguasaan dan pengaruh. Terlalu rendah diri akan menjadikan diri kita mudah untuk dipijak dan digula-gulakan oleh musuh-musuh kita.

Oleh itu wahai pelajar-pelajar Melayu Islam sekelian, rendahkan diri serendah-rendahnya, tettapi janganlah sampai ke tahap di mana rendah diri itu merosakkan kita.

Selasa, Oktober 20, 2009

Ulama’ yang teraniaya

Baru-baru ini, seluruh dunia Islam gempar dengan kenyataan-kenyataan yang terpapar di media-media massa berbunyi “ Sheikh Azhar Haramkan Purdah”. Pastinya pihak Sisters ‘Out Of’ Islam, Islam Liberal dan puak-puak yang seangkatan dengannya menggunakan kenyataan tersebut untuk kepentingan mereka. Akhbar-akhbar Internet di Mesir juga menggunakan istilah ‘Ban’ yang bererti melarang untuk mengeluarkan kenyataan Al-Fadhil Sahibul Ilm Wa Al-Maqam Sheikh Tantawi, Sheikhul Azhar.
Namun, saya tertanya-tanya, benarkah Sheikh mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa? Saya sangat menghormati ulama’ jadi saya percaya Sheikh pasti tidak akan mengeluarkan kenyataan tanpa sebarang alasan yang munasabah. Rupa-rupanya, kenyataan yang Sheikh keluarkan berbeza langsung dengan kenyataan di media. Kisah ini saya dapatkan dari seorang senior di Mesir ini yang cukup terkenal dengan kefaqihannya dan kedekatannya dengan ulama’-ulama’ di sini.
Suatu ketika, Sheikh sedang melawat salah satu sekolah daripada beberapa banyak sekolah di bawah pengurusan Al-Azhar, yang mana sekolah ini khas untuk perempuan. Dalam satu kelas yang mana semua muridnya adalah perempuan yang belum akil baligh dan gurunya juga perempuan, beliau terlihat salah seorang murid memakai purdah. Beliau menyuruh murid tersebut menanggalkannya, atas alasan di dalam kelas yang semua perempuan, gurunya juga perempuan, dan si pemakai juga belum akil baligh. Murid tersebut membantah, gurunya juga membantah, namun Sheikh tetap menyuruh pelajar tersebut menanggalkannya.
Begitulah kisahnya. Perlu difahami oleh semua bahawa Sheikh Tantawi merupakan salah seorang Sheikh Azhar. Di Mesir, gelaran ‘Sheikh’ hanya diberi kepada orang yang telah alim dalam pelbagai bidang agama, berbeza dengan gelaran ‘Ustaz’ yang diberi kepada orang yang mahir dalam satu bidang sahaja. Oleh itu, beliau lebih tahu hukum, kebaikan dan tujuan pemakaian purdah. Tujuan saya membawa isu ini adalah untuk memberi kefahaman bahawa Sheikh tidak mengharamkan purdah sama sekali seperti yang dimomokkan oleh media massa, tetapi Sheikh menyeru supaya memakainya sesuai dengan tempatnya. Jika di tempat awam yang ada lelaki, tiada masalah memakai purdah. Mudah-mudahan tiada pihak yang memutar belit kenyataan Sheikh selepas ini.
Sekian dari saya…

Jumaat, Oktober 09, 2009

Menjaga kesihatan di Mesir

Baru-baru ini,saya telah dijemput untuk memberikan satu taklimat kesihatan kepada pelajar-pelajar baru dari Johor. Alhamdulillah, taklimat tersebut telah berjalan lancar. Namun, saya berpendapat perkara-perkara yang saya sampaikan dalam taklimat tersebut bukan hanya untuk pelajar-pelajar baru sahaja, tetapi pelajar-pelajar lama dan pengunjung Mesir juga perlu tahu serba sedikit tentang penjagaan kesihatan di Mesir. Saya juga menulis catatan ini untuk sesiapa yang ingin mendapatkan penjelasan lebih lanjut tentang apa yang saya bentangkan dalam taklimat tersebut.

Pertama, perlu difahami bahawa keadaan Mesir sangat berbeza dengan keadaan Malaysia. Mesir berudara kering kerana kurang hujan, tidak lebih daripada 5 kali hujan sahaja dalam setahun. Mesir mempunyai dua musim utama, sejuk dan panas. Mesir bersuhu agak ekstrem berbanding Malaysia, musim sejuk sangat sejuk, dan musim panas sangat panas. Mesir merupakan Negara padang pasir, udaranya berhabuk. Sayangnya, Mesir juga agak kotor, dengan Kaherah dinobatkan sebagai bandaraya terkotor di dunia. Juga di Kaherah, keadaan agak sesak dan kadar pencemaran udara dan bunyi agak teruk, atas sebab kepadatan penduduk yang sangat tinggi. Jika dibandingkan, jumlah penduduk Kaherah sahaja sudah lebih kurang sama dengan jumlah rakyat Malaysia. Masyarakat Mesir juga, dukacitanya, kurang mementingkan kebersihan berbanding masyarakat Malaysia. Semua ini akan mempengaruhi cara penjagaan kesihatan kita di Mesir, sebagaimana yang akan dibincangkan di bawah.

Yang pertama perlu saya tekankan ialah penjagaan pemakanan. Kurangkan makan di kedai-kedai makanan masyarakat Mesir, kerana tahap kebersihan kedai-kedai ini tidak memuaskan. Gorengan dengan minyak yang diulang penggunaannya, menyediakan makanan di atas meja tanpa alas, memegang makanan tanpa sarung tangan, semua itu perkara biasa bagi orang mesir, tidak bagi kita. Ditakuti makanan yang kotor dan kurang sihat itu akan mempengaruhi kesihatan kita, sebagaimana mafhum Hadis Nabi Muhammad SAW, “2 per 3 penyakit itu datang dari perut”. Masaklah makanan kita sendiri, lebih sihat dan dipercayai, dan lebih mudah untuk mendapatkan poket yang sihat.

Yang kedua, jagalah kebersihan. Mandi 2 kali sehari walaupun kita tidak berpeluh kerana kulit kita setiap masa terdedah kepada habuk dan kotoran dan ada sel-sel kulit yang mati yang berpotensi memerangkap bakteria dan menyebabkan pelbagai jenis penyakit kulit. Jika sejuk, gunalah pemanas air untuk mandi dengan suhu air yang sederhana. Selalulah membasuh tangan dan kaki dengan sabun, dan selalu juga membasuh rongga-rongga badan seperti mulut, hidung, telinga, dan sebagainya. Ini juga dilakukan sebagai langkah mencegah virus Influenza Khanazir atau nama popularnya H1N1. Jangan lupa untuk menjaga kebersihan tempat tinggal daripada timbunan sampah dan haiwan perosak seperti lipas, pepijat dan tikus.

Yang ketiga, perlu juga ditekankan bahawa kita ‘cari kesihatan, jangan cari penyakit’. Rokok, Syisya, dadah, arak, minuman bergas, dan lain-lain jenis lagi bahan yang berpotensi memudaratkan kita. Juga saya tekankan supaya menjaga emosi kita, dan rajin-rajinlah bersukan.

Yang terakhir, saya tekankan supaya kita ‘sayang kesihatan, jangan sayang duit’. Apabila sakit, jumpalah doktor, belilah ubat yang sepatutnya, dan dapatkan rehat secukupnya. Jika ada kelapangan kewangan, belilah benda-benda yang terbukti memanfaatkan kita seperti madu, kismis, kurma, buah-buahan, sayur-sayuran dan sebagainya. Selalulah minum air masak, jika diluar, belilah air mineral dan kurangkan minum air dari mesin-mesin minuman awam.

Saya tamatkan catatan saya dengan mafhum Hadis Nabi Muhammad SAW, “ingat 5 perkara sebelum 5 perkara, sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, hidup sebelum mati” dan mafhum Hadis Nabi SAW juga yang bermaksud sesiapa yang mengucapkan “Subhanallahil’azim wabihamdihi” 33 kali setiap selepas Subuh akan dijauhkan daripada penyakit buta, kusta dan strok.

Sekian dari saya.

Ahlan wasahlan, Marhaban Bikum Ila Ardhul Kinanah

Ahlan wasahlan kepada semua pelajar baru ke bumi Mesir, khususnya kepada sahabat-sahabat Johor dan perubatan Al-Azhar. Semoga kedatangan antum semua ke sini diberkati , dirahmati, diredhai, dan dimudahkan oleh Allah SWT. Amin

Teringat saya kepada pesanan abang-abang senior saya di Mesir. Antaranya berbunyi, ”datang Mesir jangan bazirkan masa”, “apa tujuan hantar ke Mesir kalau bukan untuk bawa balik ilmu Islam dan berbakti kepada masyarakat”, “di sini ramai Wali Allah, jangan sesekali pandang rendah sesiapa”, dan bermacam-macam lagi pesanan yang tidak mampu saya nukilkan di sini. Saya cuba tekankan beberapa pesanan yang saya anggap penting untuk semua penuntut ilmu di bumi barakah ini.

Yang pertama, saya mensarankan kepada sahabat-sahabat sekalian supaya mewujudkan satu senarai bertajuk “Apa yang saya nak dapatkan di Mesir?”. Letakkan prioriti yang pertama “mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan” supaya kita sedar tujuan utama penghantaran kita di sini.Boleh juga diletakkan sasaran kita untuk mendapat sanad Al-Quran dalam bacaan Imam Hafs, beberapa puluh sanad hadis dan kitab, dan sebagainya. Inilah salah satu kelebihan belajar di Mesir berbanding di Malaysia. Lagi bagus jika sasaran kita ini dilukis dan ditampal pada mana-mana tempat yang selalu ditatap, seperti di meja belajar, dalam almari, dan sebagainya.

Yang kedua, apabila kita berjauhan dengan keluarga, kita akan berasa sepi. Oleh itu, pelajar-pelajar yang berada di perantauan sangatlah digalakkan untuk terlibat dalam persatuan. Di Mesir, banyak persatuan-persatuan yang kita boleh sertai, antaranya Badan-badan Kebajikan Anak Negeri, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir, Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan, dan lain-lain.Apa pentingnya kita berpersatuan? Pertamanya kita akan dapat pengalaman bekerja, dan pengalaman ini sangat berguna selepas kita tamat belajar nanti. Selain itu, jika timbul-apa masalah, persatuanlah yang akan menjalankan fungsi sebagai ‘ibubapa’ kita yang akan membantu kita dalam menyelesaikan masalah tersebut. Contohnya, jika berlaku kematian, sakit, kes jenayah dan sebagainya,persatuanlah yang akan membantu kita dalam urusan kita, tidak kira dengan pihak Kerajaan Malaysia, Kerajaan Mesir, Pihak Polis, Hospital atau mana-mana pihak yang terbabit.

Cukuplah sekadar itu dari saya, sekian.