Khamis, Januari 09, 2014

RAHMAT UNTUK SEMUA; PRINSIP ISLAM DALAM BERINTERAKSI DENGAN NON-MUSLIM


MUQADDIMAH

Islam diturunkan melalui Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat untuk seluruh alam. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutuskan kau (wahai Muhammad) kecuali sebagai rahmat kepada seluruh alam.”

Tema PAS "Rahmat Untuk Semua" dilihat sangat bertepatan dengan keadaan masyarakat majmuk di Malaysia. Saya melihat ini satu usaha yang sekiranya berjaya, mampu mengubah lanskap Malaysia ke arah yang lebih baik. Melalui tema ini, PAS yang dilihat sebelum ini sebagai “parti Islam konservatif” dalam kalangan non-Muslim, boleh mengorak langkah dengan menghulurkan tangan perhubungan antara Muslim dan non-Muslim di Malaysia.

Dalam berurusan dengan non-Muslim, ada beberapa prinsip yang perlu dijaga. Prinsip ini digariskan supaya kita tidak melampau dalam mengajak mereka memeluk Islam, dalam masa yang sama tidak mengeksklusifkan rahmat yang dibawa Islam kepada bangsa Melayu sahaja.

1-KETIDAKPAKSAAN DALAM MEMELUK ISLAM

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud: “Tiada paksaan untuk menganut Islam, sesungguhnya telah jelas kebenaran dari kesesatan.”

Islam tidak mengajar penganutnya memaksa non-Muslim untuk menganut Islam, walaupun ketika Islam sedang berkuasa. Islam menyeru umatnya mengajak mereka kepada Islam dan menerangkan tentang Islam, namun Muslimin tidak sekali-kali dibenarkan untuk memaksa mereka menganut Islam. Ini kerana hidayah milik Allah SWT yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan bukannya secara paksaan. Memaksa non-Muslim menganut Islam hanya akan membuatkan mereka mengaku Muslim tetapi tidak membenarkan dengan hati.

Justeru, PAS tidak akan sama sekali memaksa non-Muslim memeluk Islam. PAS sudah pastinya perlu menjaga hak setiap individu untuk memilih samada mahu memeluk Islam atau kekal dalam agamanya.

2-KEADILAN

Islam menuntut umatnya berlaku adil kepada sesiapa walaupun terhadap non-Muslim. Lebih-lebih lagi kepada ahli Zimmah sehingga Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menyakiti ahli zimmah, maka aku akan jadi pembelanya. Dan sesiapa yang memusuhi ahli Zimmah, maka aku akan memusuhinya.”

Islam telah menetapkan bahawa rakyat berstatus Zimmi yang ada di negeri Islam atau mana-mana negeri di bawah naungan Islam mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama dengan Muslimin. Tentera Daulah Islam juga wajib berperang melindungi mereka sama seperti mereka berperang melindungi Muslimin. Begitu juga dalam menghukum, hakim haruslah menyelidik dengan mendalam semua kes antara Muslim dan non-Muslim yang dihadapkan kepadanya supaya tiada non-Muslim yang dizalimi.

Rasulullah SAW pernah berdiri kerana menghormati jenazah Yahudi kerana Baginda SAW menganggap dia juga seorang manusia. Rasulullah SAW juga menghormati hari kebesaran Yahudi iaitu hari Sabtu dan menegaskan bahawa mereka tidak akan diganggu pada hari tersebut. Dalam peperangan, tentera Islam diharamkan merobohkan rumah ibadah. Sayyidina Ali KW ketika beliau sedang menjadi Khalifah, telah membawa isu kehilangan baju besinya yang dilihat ada di tangan seorang lelaki bukan Islam kepada Qadhi Syuraih. Beliau seorang Khalifah telah menyerahkan penghukuman urusannya kepada Qadhi kerana ingin mengelak dari menzalimi lelaki tersebut. Ini merupakan antara contoh-contoh bagaimana pemerintah yang mengamalkan Islam sebenar tidak akan sesekali menzalimi penganut agama lain.

3-BERTOLAK-ANSUR

Banyak peristiwa dari Sirah Nabawiyyah yang menggambarkan toleransi Baginda Nabi Muhammad SAW terhadap non-Muslim. Prinsip ini telah diterapkan samada dalam keadaan peperangan ataupun aman.

Antara bukti toleransi Rasulullah SAW terhadap non-Muslim ialah ketika perjanjian Hudaibiah. Selain itu, ia juga terbukti atas tindakan Nabi Muhammad SAW ke atas seorang perempuan yang cuba meracuninya, dan seorang lelaki Yahudi yang menyihirnya. Rasulullah SAW bukan sahaja tidak menghukum mereka berdua, bahkan memaafkan mereka.

Sesungguhnya Islam tidak mengajar umatnya untuk mengasingkan diri dari non-Muslim, sehingga mereka menjadi terpulau, renggang dan terasing. Tetapi bagi agama Islam, ahli Zimmah itu seharusnya diselubungi suasana perkongsian sosial, belas kasihan, kesopanan, serta percampuran sehingga mereka merasa selesa dan tidak asing untuk tinggal dalam masyarakat Muslimin.

Bukankah ini satu bentuk dakwah kita kepada mereka juga?

4-MENEPATI JANJI

Islam menegaskan kepada umatnya supaya menepati sebarang janji yang dilakukan walaupun kepada non-Muslim. Dalam Sirah Nabawiah, tidak pernah berlaku situasi di mana Nabi Muhammad SAW melanggar perjanjian, walaupun terhadap non-Muslim. Allah SWT memerintahkan Umat Islam supaya menyempurnakan perjanjian dengan non-Muslim yang menghormati perjanjian tersebut. Firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat 4 yang bermaksud: “Kecuali orang-orang Musyrikin yang kamu telah mengadakan perjanjian dengan mereka, kemudian mereka tidak mengurangi sesuatupun dari perjanjian kamu, dan tidak membantu sesiapa yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah janjimu kepada mereka sehingga habis waktunya.”

Tuntutan memenuhi perjanjian ini adalah dengan syarat pihak bukan Islam juga memenuhi syarat perjanjian tersebut. Sekiranya pihak bukan Islam menjadikan perjanjian tersebut sebagai helah untuk merancang penipuan dan pengkhianatan, maka Muslimin berhak membatalkan perjanjian tersebut. Adapun jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka umat Islam diperintahkan supaya cenderung kepadanya juga.

Harus dibezakan perjanjian dan memberi kesetiaan. Memberi kesetiaan kepada non-Muslim adalah dilarang, namun mengadakan perjanjian dengan mereka adalah dibenarkan. Antara contoh PAS mengadakan perjanjian dengan non-Muslim di Malaysia ialah Tahalluf Siyasi bersama DAP dalam Pakatan Rakyat.

5-RAHMAH DAN KEBAIKAN

Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu dari berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu dan tidak mengusirmu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil. (Surah Al-Mumtahanah:8)

Tiada halangan untuk umat Islam berbuat baik dan berlaku adil kepada non-Muslim. Bahkan, Islam menggesa umatnya melayan mereka dengan baik. Antara contoh:

Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah memberikan satu bahagian dari Masjid Nabawi kepada utusan Najran yang beragama Nasrani untuk mereka bersembahyang di dalamnya. Begitu juga ketika datang perwakilan non-Muslim dari Bani Thaqif untuk bertemu Nabi SAW, Baginda membina khemah untuk mereka dalam kawasan masjid. Nabi SAW juga pernah berpesan supaya menjaga hak jiran tetangga walaupun bukan Muslim.

Dalam perkara ini, Islam menyeru supaya berbaik dengan non-Muslim, dengan syarat mereka tidak merendahkan dan menghina Akidah dan Syiar Islam. Justeru, selagi mana mereka tidak memulakan serangan ke atas kita, kita tidak seharusnya memulakan sebarang bentuk permusuhan dengan mereka. Jika mereka memulakan serangan, kita haruslah membalas namun tidak dibenarkan berlebih-lebihan.

6-POLISI KEAMANAN DAN KESEJAHTERAAN

Islam merupakan agama keamanan dan kesejahteraan. Allah SWT tidak membenarkan umat Islam memerangi kaum non-Muslim yang tidak memerangi mereka. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 90 yang bermaksud: “Tetapi jika mereka membiarkan kamu, dan tidak memerangi kamu, serta menawarkan perdamaian kepadamu, maka Allah SWT tidak memberi jalan untuk kamu ke atas mereka.” Islam juga mengarahkan penganutnya melindungi Musyrikin yang meminta perlindungan dengan umat Islam.

Di antara tatacara kamu Muslimin ialah sekiranya suatu kaum itu masih belum sampai dakwah Islam kepada mereka, tidak dibolehkan memerangi mereka kecuali setelah menyeru mereka kepada Islam dan mereka diberi pilihan. Jika sekalipun telah disampaikan dakwah, sebahagian Fuqaha menggalakkan dipastikan dakwah bagi menegakkan hujah serta menerima keuzuran mereka.

PAS masih lagi mengekalkan pendekatan “muwajahah silmiah” atau “pendekatan aman” yang diamalkan sejak sekian lama. Pendekatan ini haruslah dikekalkan dalam konteks keadaan semasa umat Islam.

7-MENCARI TITIK PERSAMAAN TERLEBIH DAHULU

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 64 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah SWT, dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu apa pun, dan jangan sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah SWT.”

Ayat di atas memberi satu kaedah dalam menyampaikan dakwah kepada non-Muslim iaitu dengan mencari titik persamaan. Antara titik persamaan antara Muslim dengan non-Muslim di Malaysia ialah rakyat Malaysia sama-sama terbeban dengan kenaikan kos sara hidup, kenaikan kadar jenayah, ketirisan kewangan negara, kezaliman pemerintah, dan isu kejelikan pemimpin negara yang tidak pernah selesai. Muslim dan non-Muslim membenci perkara ini, justeru dalam menyampaikan Rahmat Islam kepada semua, PAS seharusnya menjuarai isu-isu ini dan menjelaskan apa sebenarnya cara Islam dalam menyelesaikan isu-isu ini.

Justeru, apabila dibangkitkan tentang peningkatan kadar jenayah, PAS harus menerangkan tentang bagaimana hukum-hukum jenayah mengikut sistem perundangan Islam dan kelebihan-kelebihannya berbanding sistem yang ada. Begitu juga apabila bangkit isu ekonomi, PAS harus menerangkan bagaimana sistem ekonomi Islam lebih baik berbanding sistem ekonomi negara sekarang. Dan begitulah seterusnya. Dengan cara inilah kita akan mampu menarik non-Muslim ke arah Islam dan hukum-hukumnya.

8-BERDEBAT DENGAN CARA YANG BAIK

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl ayat 125: “Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan berhujahlah dengan mereka dengan cara yang baik.”

Islam mensyaratkan kita supaya berhujah dengan cara yang baik. Ini lebih memberi kesan positif kerana dengan berbuat demikian, non-Muslim tersebut akan lebih yakin dengan Islam, dan bukan hanya sekadar mengikut-ikut atau terpaksa.

Dalam berdakwah dengan cara ini, PAS harus menerangkan kekeliruan mereka tentang Islam, dan menunjukkan kekurangan agama dan anutan lain berbanding Islam.

PENUTUP

Pemilihan tema Rahmat Untuk Semua dilihat sebagai satu usaha yang sangat positif ke arah membina jambatan antara agama di Malaysia dalam usaha kita membawa non-Muslim kepada Islam. Justeru, saya sangat mengalu-alukan usaha ke arah ini dan mengharapkan jurang dan batasan yang telah sekian lama terbina antara kaum di Malaysia dapat didekatkan, dan kita dapat menyampaikan keindahan Islam kepada non-Muslim di Malaysia.

Semoga semua pihak bersama menjayakannya.