Rabu, September 30, 2009

Aidilfitri di perantauan

Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua pelawat-pelawat blog ini.

Aidilfitri merupakan hari kemenangan Umat Islam seluruh dunia selepas mereka berjaya melawan nafsu selama sebulan. Di Malaysia, Aidilfitri disambut dengan penuh meriah. Juadah yang pelbagai, pakaian yang berwarna-warni, amalan ziarah, dan yang paling penting buat anak-anak, hari mendapat duit raya. Namun, bagi saya yang menyambut Aidilfitri di perantauan buat kali pertama, satu pengalaman baru bagi saya apabila saya menyambut Aidilfitri tanpa semua perkara tersebut.

Pengalaman beraya di Bumi Anbia mengajar saya banyak perkara. Bagi saya, pemergian Ramadhan bukanlah satu perkara yang patut diraikan oleh Umat Islam. Perginya Ramadhan bererti perginya rahmat, keampunan dan keselamatan dari azab neraka, begitu juga perginya malam yang lebih baik dari seribu bulan. Oleh kerana itu, masyarakat Mesir lebih menyambut kedatangan Ramadhan dari menyambut pemergiannya. Mungkin ini satu amalan yang lebih patut diamalkan oleh Umat Islam.

Oleh kerana itu, sambutan Aidilfitri di Mesir tidaklah sehebat di Malaysia. Menyambut Aidilfitri tanpa lagu-lagu raya terasa sangat janggal bagi saya. Tambahan lagi, ini juga kali pertama saya menyambutnya tanpa berada di pangkuan keluarga. Memang terasa syahdunya. Namun, saya tabahkan hati kerana saya tahu keberadaan saya di sini bukanlah atas alasan yang sia-sia. Doakan saya dianugerahkan ketabahan untuk terus menimba ilmu di Ardhul Kinanah ini.

Sekian dari saya...

Isnin, September 28, 2009

Ramadhan yang telah pergi..

Ramadhan telah 9 hari meninggalkan kita. Ramadhan yang telah pergi meninggalkan saya dengan beberapa persoalan yang saya fikir penting, antaranya "adakah aku tergolong dalam golongan yang melalui Ramadhan, tetapi dikatakan sebagai celaka oleh Rasulullah SAW?" sebagaimana mafhum hadis Nabi SAW, celakalah, celakalah, celakalah, barangsiapa yang Ramadhan berlalu tapi dia tidak diampuni. Sama-samalah kita muhasabah diri.

Saya berpendapat Ramadhan sebenarnya merupakan satu kawasan R & R dalam perjalanan hidup hamba bertemu Yang Maha Esa. Ramadhanlah tempat hamba menyegarkan rohani yang kian lesu dek perjalanan insani yang dipenuhi maksiat dan dosa-dosa. Ramadhanlah tempat bersuci dari debu-debu dosa yang hinggap di hati ini di kala menempuh onak dan duri.Ramadhan jugalah tempat hamba menyemak kembali kompas perjalanan menuju syurga Ilahi yang hakiki dan kekal abadi.

Justeru, saya menyeru kepada semua Umat Islam di celah-celah kesibukan kita menyambut Aidilfitri supaya jangan meninggalkan amalan-amalan kita di bulan Ramadhan. Jika kita di bulan Ramadhan menyempurnakan solat 5 waktu di masjid, selepas Ramadhan janganlah kita tinggalkan amalan tersebut. Jika dalam Ramadhan kita rajin membaca Al-Quran, rajinlah juga membacanya di luar Ramadhan. Mudah-mudahan kita tidak mensia-siakan Ramadhan yang telah berlalu.

Akhir kalam, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua Umat Islam, Maaf Zahir dan Batin.

Mengenai blog ini..

Nama Az-Ziadah diambil dari wazan 'zaada'(zai-alif-dal) yang bererti menambah. Az-Ziadah bererti penambahan, sesuai dengan hadi Nabi Muhammad SAW "Jadikanlah hari ini lebih baik dari semalam, hari esok lebih baik dari hari ini" sehingga ke hujung hadis.

Idea untuk nama ini sebenarnya datang ketika saya berurusan dengan profesor-profesor di Kuliah Perubatan Universiti Al-Azhar. Mereka selalu silap memanggil nama saya, Yazid, menjadi Ziyad. Ini kerana nama Yazid jika mengikut kaedah Bahasa Arab bukanlah suatu nama, sebaliknya ia bermaksud perbuatan menambah. Dari situ timbul idea menamakan blog ini dengan nama Az-Ziadah.

Blog ini merupakan blog diskusi ilmiah. Topik-topik diskusi adalah bebas, termasuk agama, kemasyarakatan, politik, ekonomi, perubatan mahupun isu-isu semasa selagi mana ia tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Diharapkan kepada yang mengikuti blog ini agar tidak menyempitkan fikiran atau menzahirkan ketaksuban kepada mana-mana pihak. Begitu juga perlu ditekankan bahawa pandangan mana-mana pengikut blog ini bukanlah merupakan pandangan peribadi penulis.

Sekian dari saya, Muhammad Yazid Bin Hanzir, pelajar tahun 2 Kuliah Perubatan Universiti Al-Azhar Mesir.

Ahad, September 27, 2009

Bismilahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum WBT. Selamat datang ke kawasan koreksi diri, Az-Ziadah.blogspot.com. Di sinilah tempat berkongsi pandangan, bertukar-tukar idea, berbahas secara ilmiah, dan mengaplikasikan semua ilmu yang telah kita ada.

Blog ini saya bina dengan beberapa tujuan, antaranya menyahut seruan Al-Quran "Berdakwahlah kepada jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan, teladan yang baik, dan berbahaslah dengan cara yang baik" dan seruan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW " sesiapa yang berkata 'tiada tuhan selain Allah' maka dia adalah pendakwah". Justeru, salah satu wasilah dakwah di zaman ini ialah melalui blog. Selain itu, saya berpendapat bahawa dengan bloglah saya mampu melatih diri menjadi seorang pendakwah yang hebat.

Atas tujuan ini, saya melancarkan Az-Ziadah.blogspot dengan harapan ia menjadi penyebar kebaikan, pencegah kemungkaran, penegak kalimah Allah di muka bumi, penawar hati yang duka, penghibur hati yang lara, peneman insan yang sepi, penerang hati yang gelita, penyeri hati yang gembira, pembantu di jalan buntu, pendorong dan pemangkin buat yang longlai di jalan-Nya.

Semoga kewujudan blog ini menjadi salah satu aset berharga saya ketika berjumpa Allah di Hari yang tiada perlindungan selain dari-Nya. Wabillahi at-taufiq wa al-hidayah.