Ahad, November 29, 2009

Sedih Atau Gembira?



Assalamualaikum W.B.T

Maafkan saya kerana tidak memasukkan entry terkini. Kesibukan sebagai Ketua UPP BKPJM menyebabkan saya tidak sempat memasukkan entry terkini. Mujurlah, Alhamdulillah, saya menerima banyak bantuan dari senior-senior dan rakan-rakan, maka kerja-kerja yang banyak bertimbun itu terasa mudah.

Entry kali ini saya petik dari statistik terkini yang saya dapatkan dari akhbar elektronik Utusan Malaysia. Sengaja saya membawa isu ini kerana memikirkan masa depan Umat Islam yang kian malap. Bacalah dahulu berita di bawah.


Penduduk Islam dunia kini 1.57b

NEW JERSEY 8 Okt. – Penduduk Islam di dunia kini berjumlah 1.57 bilion, nisbah satu kepada empat orang penduduk dunia, menurut satu laporan komprehensif, semalam.

Laporan oleh Forum Pew Agama dan Kehidupan Awam itu menyediakan satu angka tepat yang sebelum ini jumlahnya hanya dianggarkan.

Projek yang mengambil masa selama tiga tahun itu turut mendedahkan kenyataan-kenyataan yang mungkin mengejutkan.

Sebagai contoh, Jerman mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Lebanon; China mempunyai lebih ramai penduduk Islam daripada Syria dan Rusia pula mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Jordan dan Libya.

“Andaian yang menyatakan bahawa Islam adalah Arab dan Arab adalah Islam, ternyata tidak benar dengan adanya laporan ini,” kata Amaney Jamal, penolong profesor politik di Universiti Princeton yang mengkaji semula salinan awal laporan itu.

Pegawai-pegawai Pew menganggap laporan tersebut adalah yang paling lengkap dalam kategorinya dan meletakkan agama Islam sebagai agama kedua terbesar di dunia selepas Kristian, yang dianggarkan mempunyai antara 2.1 bilion hingga 2.2 bilion penganut.

Laporan itu turut mendapatkan pecahan antara pengikut mazhab Sunni dengan Syiah tetapi kesulitan timbul kerana tidak banyak negara membuat pecahan seumpamanya, kata penyelidik kanan projek, Brian Grim.

Maka, bilangan pengikut Syiah tidak dianggap khusus dengan laporan menganggarkan Syiah mewakili antara 10 dan 13 peratus daripada keseluruhan umat Islam di dunia, yang sejajar atau sedikit rendah berbanding kajian-kajian lain.

Sebanyak 80 peratus pengikut Syiah tinggal di empat negara iaitu Iran, Pakistan, India dan Iraq.

Laporan turut mendedahkan bahawa meskipun nadi Islam terletak di Asia Barat, bilangan terbesar umat Islam adalah di Asia iaitu meliputi lebih 60 peratus.

Asia Barat dan Afrika Utara hanya mewakili kira-kira 20 peratus umat Islam, 15 peratus di Afrika Sub-Saharan, 2.4 peratus di Eropah dan 0.3 peratus di Amerika Syarikat.

Seramai 317 juta penduduk Islam atau satu per lima daripada jumlah keseluruhan penduduk Islam pula tinggal di negara yang penduduknya bukan majoriti Islam.

Sebanyak 10 negara telah disenarai mempunyai penduduk dua per tiga beragama Islam iaitu Indonesia, Pakistan, India, Bangladesh, Iran, Turki, Mesir, Algeria, Maghribi dan Nigeria. – AP


Apa perasaan saudara-saudara sekalian setelah membaca laporan tersebut? Gembira?

Setelah saya membaca laporan tersebut, hati saya merasa sedih. Mengapa? Kerana Islam yang saya cintai bukan agama terbesar dunia. Muslimin hanyalah mewakili 1 per 4 daripada jumlah penduduk dunia. Persoalannya, mengapa kita boleh membenarkan perkara ini terjadi? Sedih saya apabila mendapati Muslimin hanya golongan minoriti sahaja di dunia sedangkan Islam adalah agama yang benar dan satu-satunya agama di sisi Allah.
Di manakah kesedaran kita sebagai Umat Islam? Walaupun terdapat 10 negara yang majoriti penduduknya Muslim, tidak satu pun dari negara-negara itu yang mengamalkan Undang-undang Islam. Apa masalahnya untuk mengamalkan undang-undang Islam?

Bangkitlah wahai Muslimin!

Ya Allah! Bantulah Umat Islam dan Muslimin!

Isnin, November 09, 2009

Mensyukuri nikmat Allah

Alhamdulillah, segala puji kita panjatkan kepada Allah tuhan sekelian alam. Tuhan yang menganugerahkan kepada kita molekul-molekul oksigen di atmosfera sebagai asbab penerusan hidup kita, yang menganugerahkan kita dengan badan yang sihat sejahtera yang mana dengannya kita menjalankan aktiviti seharian, yang mengawal setiap degupan jantung kita dan menjadikannya terus berdegup, memberikan kita peluang untuk berbakti dan beramal sedaya upaya kita. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, insan yang menganugerahkan kita dengan sebesar-besar nikmat yang boleh dinikmati di muka bumi, nikmat Islam dan Iman.

Syukur. Satu kalimah yang ringan di mulut, dan hakikatnya, sangat sukar untuk diamalkan. Seorang ustaz menyebut, "dalam seumur hidup kita, jika kita bersyukur sebanyak mana pun, pasti tidak akan cukup syukur kita dibandingkan dengan nikmat Allah. Dan sebanyak mana pun kita bersyukur, banyak lagi nikmat Allah yang kita leka dan lalai untuk syukuri.

Saya ingin membangkitkan satu persoalan buat semua. Pernahkah kita selaku hamba Allah yang hina ini, merenung kedua tapak tangan kita, dan memikirkan dosa-dosa kita yang kita lakukan dengan tangan ini. Bayangkan Allah memberi kita anggota badan yang lengkap untuk digunakan ke arah yang baik, dengan badan ini jugalah kita gunakan untuk melakukan benda yang dilarang oleh Allah. Setiap kali saya memikirkan perkara ini, hati saya menangis memikirkan betapa tidak bersyukurnya diri ini, dengan nikmat mata digunakan untuk filem-filem yang tidak menutup aurat, dengan nikmat harta digunakan untuk membeli perkara-perkara haram, dengan lisan yang ada mengumpat dan mengutuk sesuka hati, dengan tangan yang dikurnia menyakiti dan mengganggu orang sekeliling, dan bermacam-macam lagi maksiat yang telah dilakukan, baik atas kejahilan diri atau kesengajaan.

Saya membawa tajuk ini dengan niat supaya kita sama-sama memikirkan persoalan ini, "sudahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?"

"Maka di antara nikmat-nikmat Tuhan Kamu yang mana hendak kamu ingkari?"(Ar-Rahman : 13)