Isnin, Februari 10, 2014

POLITIK ISLAM MENOLAK MACHIAVELLIANISM

Politik merupakan salah satu aspek penting dalam kehidupan. Melaluinya, kita diberi peluang menyuarakan pandangan dalam memilih pimpinan yang akan menguruskan dan mentadbir hal-ehwal negara. Islam menganjurkan kita memilih pemimpin walaupun dalam pemusafiran seramai 3 orang. Dalam dunia kontemporari, politik dan demokrasi menjadi wasilah paling sesuai dalam menentukan siapa pemimpin.Saya yakin tiada siapa yang menafikan kepentingan politik dalam sesebuah negara.

Realiti dunia politik kontemporari, ramai aktivis politik dilihat begitu ghairah mengejar kekuasaan dan pengaruh sehinggakan menggunakan pelbagai cara yang tidak berlandaskan syariat Islam dan tidak menepati etika moral dan kemanusiaan. Inilah yang dipanggil “Machiavellianism”. Bahasa mudahnya, matlamat menghalalkan cara. Demi jawatan, apa sahaja cara boleh digunakan.

Machiavellianism tidak dibenarkan dalam Islam. Kaedah Fiqh Islam menyebutkan [الغاية لا تبرر الوسيلة] yang bermaksud ”matlamat tidak menghalalkan cara”. Dalam Islam, walaupun ketika sedang berpolitik, Akhlak Islamiah dan adab serta prinsip kemanusiaan tidak boleh dilanggar sesuka hati.

Kita akan sebutkan beberapa perkara yang dilakukan sebagai iktibar untuk kita.

********
1-Politik Samseng.

Bandar Ipoh telah menyaksikan satu peristiwa berdarah di mana Flashmob Kempen Pakatan Rakyat (PR) bertembung dengan Konvoi We Love PM dari Barisan Nasional (BN). Peristiwa yang berakhir dengan pergaduhan antara kedua-dua kumpulan telah menyaksikan beberapa orang cedera ringan. Di Temerloh pula, bungkusan berisi kepala ayam dan darah telah dibaling ke dalam kawasan rumah calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi. Kita juga dapat lihat betapa banyak kes merosakkan poster, samseng datang mengganggu ceramah politik, dan bermacam-macam lagi tindakan ala samseng yang dilaksanakan.



Sebagai Muslim, seharusnya timbul persoalan, “Bagaimana golongan sebegini akan mampu memimpin negara?”. Politik dalam Islam bukan begini, dan di Malaysia tidak sepatutnya begini. Bukanlah siapa samseng itulah hebat dan siapa kuat dialah betul. Ini digelar undang-undang rimba.

Politik samseng haruslah dihentikan.

2-Memfitnah pihak lawan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: dan fitnah itu lebih besar dari pembunuhan (Al-Baqarah: 191)

Kita menyaksikan pra PRU-13 bagaimana budaya politik fitnah semakin berleluasa. Kita dapat lihat kes yang berlaku di mana surat palsu PAS disebarkan. Selain itu, terdapat juga fanpage palsu di Facebook menggunakan nama DS Najib Razak. Di dalam keduanya diletakkan maklumat palsu, arahan palsu, bahkan dibuat sehingga ramai yang menyangka ia tulen.

Dalam Islam, ada perbezaan antara tipu helah dalam peperangan dengan fitnah seperti ini. Lebih-lebih lagi dalam politik zaman sekarang yang menekankan kebebasan bersuara, ketepatan informasi, dan kekuatan hujah, tidak sepatutnya fitnah sebegini dilakukan. Taktik ini dipandang keji dan dianggap kotor oleh masyarakat. Fitnah sebegini mengelirukan rakyat, dan jika penipuan itu terbongkar, boleh menyebabkan penyokong sesebuah parti politik lari dek kerana kotornya tindakan tersebut.

Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

3-Padang pertarungan yang tidak rata.

PRU-13 menimbulkan pelbagai persoalan yang tidak terjawab berkaitan ketelusan dan integriti Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia. Ramai yang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan ketelusan dan keadilan pilihanraya, lebih-lebih lagi Pakatan Rakyat. Yang pasti, tuduhan mereka bukanlah tidak berasas.


Lihat sahaja bagaimana keputusan penjumlahan Borang 14 yang mengelirukan. Lihat sahaja bagaimana dakwat yang dikatakan kekal 5-7 hari hilang dengan basuhan pertama. Bahkan terdapat individu yang mengaku boleh mengundi 2 kali tanpa halangan! Tidak dinafikan sebahagian individu yang mengadu tidak dapat mengundi kerana penyamaran. Begitu juga tuduhan terdapat pengundi hantu atau pengundi ‘import’ dari luar negara dan kes terputus bekalan elektrik yang banyak berlaku. Di Perak, kita menyaksikan bagaimana calon K Vasantha Kumar dan wakil parti (Counting Agent) dihalang dari menyaksikan proses pengiraan undi.


Kita juga dapat lihat bagaimana Pakatan Rakyat dinafikan akses kepada media. Mereka hanya ditawarkan 10 minit untuk membentangkan manifesto mereka, manakala Barisan Nasional telah menggunakan saluran televisyen, akhbar dan radio seluas-luasnya untuk berkempen. Akses media tidak adil ini telah memberikan kelebihan kepada parti pemerintah untuk berkempen menerangkan manifesto, dan menjawab tohmahan pembangkang, manakala pembangkang tidak diberikan peluang yang sama. Kesan akses media tidak adil ini dapat dilihat di kawasan pedalaman. Mereka tidak dapat mengkaji manifesto pembangkang kerana mereka tiada akses internet. Mereka hanya mendapat informasi melalui akhbar, televisyen dan radio sahaja yang semuanya dikuasai oleh parti pemerintah.

Selain itu, ‘gerrymandering’ juga dapat dilihat secara jelas di Malaysia. Gerrymandering ditakrifkan sebagai cubaan mendapatkan kecenderungan kepada sesuatu pihak tertentu melalui proses persempadanan semula kawasan. Graf di sebelah membuktikan bagaimana BN memenangi majoriti mudah dalam Parlimen melalui kerusi-kerusi yang tidak ramai pengundi. Kawasan-kawasan ini sukar dicapai oleh PR kerana akses media yang tidak adil. Justeru, tidak hairanlah pengundi di kawasan ini mengundi Barisan Nasional.

Sebagai Muslim, kita mengharapkan satu padang pertarungan yang rata. Jika dalam sukan kita mahukan pengadil yang adil, apatah lagi dalam satu pertembungan politik yang akan menentukan masa depan rakyat dan negara. Sudah pastinya kita mahukan pertandingan yang adil dan telus.

Kalah dengan bermaruah lebih baik dari menang dengan terhina.

4-Politik Perkauman

Agama Islam menolak jurang sentimen perkauman. Baik ia wujud dalam sukan, politik atau dalam profesyen masing-masing. Justeru, kita menolak sekeras-kerasnya cubaan mana-mana pihak untuk membangkitkan sentimen perkauman untuk meraih undi.

Sejarah tidak menafikan peranan sentimen perkauman ini dalam politik Malaysia. Kita telah diajar di dalam subjek Sejarah bagaimana Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah memisahkan Singapura dari Malaysia kerana Lee Kuan Yew berkempen untuk Parti Tindakan Rakyat (People’s Action Party, PAP) dengan menggunakan sentimen perkauman.


Justeru, cubaan beberapa pihak termasuk akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo (lihat gambar) mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab yang melampau. Adakah sepatutnya mereka sanggup mengorbankan keamanan negara demi kepentingan politik parti tertentu?

Agama Islam menolak Rasism.

5-Penyebaran bahan lucah

Pada tahun 1998, kita digemparkan dengan tuduhan liwat DS Anwar Ibrahim. Tuduhan yang sama diulang pada tahun 2008. Pada tahun 2011, kita digemparkan pula dengan penyebaran video seks Anwar Ibrahim. Pada tahun 2013, kita sekali lagi digemparkan dengan penyebaran video seks Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS. Penafian telah dibuat oleh individu berkaitan.

Namun yang menjadi persoalan di sini ialah di mana nilai kesopanan Melayu yang kita pelihara selama ini? Menyebarkan video lucah di internet untuk tatapan umum bukanlah satu perkara yang baik. Jika benarpun tuduhan tersebut, bukankah lebih baik video tersebut diserahkan kepada pihak polis dan laporan polis dibuat mengenainya? Mengapa harus ia dimuat naik?

Menyebarkan video lucah menggambarkan keruntuhan akhlak Islamiah yang serius. Sebagai Muslim yang berakhlak dan bermoral, kita seharusnya menolak pihak yang melakukan tindakan sebegini dari mendapat mandat memerintah.

6-Khianat.

Islam menyeru umatnya supaya memenuhi perjanjian walaupun perjanjian tersebut dilakukan dengan non-Muslim.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; Sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.(An-Nahl:91)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.(Al-Hajj:38)

Kita dapat lihat sebahagian individu yang telah berjanji untuk berpakat dengan pihak lain mengkhianati perjanjian semata-mata untuk mencari keuntungan peribadi atau parti sendiri. Ada yang setelah berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat sepanjang tempoh penggalnya, telah meletakkan jawatan sesuka hati. Ada pula yang mengambil langkah mengkhianati kepercayaan rakyat dengan melompat parti.

Kita harus sedar bahawa sifat Khianat ini bukan sahaja diharamkan oleh Islam, bahkan nilai moral kemanusiaan juga menolaknya. Sifat ini merupakan sifat keji yang dikaitkan dengan golongan Munafiq. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, ”tanda Munafiq itu 3, apabila berkata dia berbohong, apabila berjanji dia mungkiri, apabila diberi kepercayaan dia khianati.”

Jika rakan politik pun dia sanggup khianati, rakyat bawahan apatah lagi?

********
Melihat Machiavellianism yang berleluasa ini, maka apa harapan dan tindakan kita selaku Muslim? Beberapa tindakan yang boleh saya sebutkan di sini ialah:

1-Menolak & menentang mana-mana pihak yang mengamalkan Machiavellianism.

Mana-mana individu, parti atau gabungan parti yang mengamalkan Machiavellianism haruslah ditolak. Mereka yang mengamalkan prinsip ini tidak boleh dipercayai untuk memegang tampuk pemerintahan. Tiada jaminan mereka tidak akan membodohkan rakyat apabila mereka berkuasa. Tiada jaminan mereka ini tidak akan menindas rakyat sekiranya mendapat kuasa untuk kepentingan diri atau parti.

Mereka ini ibarat penjenayah yang berselindung di balik nama demokrasi untuk menghalalkan jenayah mencuri, mengugut dan samseng mereka. Mencuri yang dimaksudkan ialah menggelapkan duit rakyat. Mengugut dalam konteks politik Malaysia ialah mendiamkan pihak yang tidak sependapat dengan mereka melalui undang-undang bersifat kuku besi, penggunaan angkatan bersenjata, penarikan bantuan kewangan dan lain-lain untuk kepentingan politik. Samseng dari segi tindakan apabila pihak yang berbeza pendapat dinafikan bukan dengan hujah, tetapi ditentukan melalui prinsip ‘siapa kuat dia betul’.

2-Perbandingan ilmiah dan politik hujah.

Di alam pelajar, kita dilatih untuk berdebat untuk menyampaikan idea kita. Sejak zaman sekolah rendah lagi, guru-guru mencari, melatih dan menghantar bakat-bakat pendebat ini untuk pelbagai pertandingan yang diadakan di peringkat zon, daerah, negeri dan kebangsaan.

Namun sayangnya, apabila mereka meningkat dewasa dan masuk ke kancah politik, bakat yang ada ini disia-siakan. Tiada arena debat yang luas yang membolehkan mereka menyampaikan idea dan pemikiran kepada seluruh rakyat Malaysia. Amatlah rugi kerana sebelum PRU-13, tiada debat antara manifesto BN dan PR dijalankan untuk rakyat membandingkan. Mahasiswa mengharapkan untuk PRU-14, akan diadakan debat antara calon Perdana Menteri Malaysia, misalnya antara DS Najib Razak melawan DS TG Haji Abdul Hadi Awang.

3-Padang pertarungan sama rata

Kita mahukan keadilan dalam pertarungan dan perlumbaan. Kita mahu PRU-14 dan seterusnya diadakan dalam keadaan yang adil untuk semua pihak. Kita mahu akses media yang lebih adil untuk kita menilai secara terbuka antara semua pihak yang bertanding. Kita mahu tiada salahguna aset kerajaan untuk kepentingan mana-mana parti. Kita mahu calon bertanding dan menang atas kredibiliti dan kualiti yang ada, bukan kerana kroni.

4-Bebaskan SPR dari Jabatan Perdana Menteri

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) haruslah dibebaskan dari sebarang pengaruh politik dan dapat menjalankan pilihanraya secara adil & telus. Dengan meletakkan SPR di bawah Jabatan Perdana Menteri, tidak dapat tidak ia akan dipengaruhi oleh parti pemerintah. SPR harus diletakkan di bawah satu entiti non-partisan seperti Majlis Raja-raja Melayu dan dibebaskan sepenuhnya dari pengaruh parti politik, baik pemerintah atau pembangkang.

5-Campurtangan Majlis Raja-raja

PRU-13 dilihat sebagai PRU paling kotor kerana terdapat berbagai-bagai aduan mengenai kredibiliti SPR. Jika aduan ini dibiarkan tanpa tindakan, rakyat yang kecewa dengan keadaan ini mungkin akan turun ke jalanan mengadakan demonstrasi, dan mungkin juga revolusi. Jika ini berlaku, keamanan & kestabilan negara sudah pastinya terjejas. Bahkan ia boleh mencetuskan perang saudara yang akan menghancurkan negara. Justeru, kita mahu campurtangan Majlis Raja-raja dalam memastikan PRU-14 dan seterusnya dijalankan secara adil dan telus.

6-Kebebasan menyokong dan membangkang dalam konteks Islam.

Malaysia diiktibarkan sebagai negara demokrasi. Justeru, kebebasan rakyat untuk memilih, dan menyokong mana-mana parti dan calon haruslah ada. Tidak adil sekiranya rakyat hanya dibenarkan menyokong parti pemerintah. Tidak demokratik juga sekiranya individu yang menyokong parti pembangkang ditarik bantuan, dibuang kerja dan dinafikan hak sebagai rakyat Malaysia. Dalam masa yang sama, kita tidak menafikan keperluan untuk membataskan kebebasan bersuara ini supaya tiada kebebasan dalam menimbulkan sentimen perkauman atau penyebaran ideologi yang terpesong seperti ideologi Komunis.

********

Apa yang berlaku hari ini menjadi iktibar buat aktivis politik dan kita selaku generasi pelapis kepimpinan negara akan datang. Jika Machiavellianism ini dibiarkan berterusan, negara Malaysia juga yang akan hancur. Maka, Machiavellianism haruslah dihentikan, dan politik Islam yang sihat harus disuburkan.

JOM CAKNA POLITIK.