Isnin, Mac 15, 2010

Inginkan Ingatan Yang Kuat?

"Arrrggghhh!!!! Tensionnye!!!! Dah studi pon tak ingat!!"

Dialog-dialog di atas merupakan perkataan yang selalu diungkapkan oleh kebanyakan pelajar. Tidak kira pelajar itu pelajar pengajian Islam, perubatan, mahupun jurusan-jurusan lain. Ternyata kebanyakan pelajar Melayu kurang diberi pendedahan tentang teknik-teknik menguatkan ingatan. Yang selalu ditekankan apabila tiba musim peperiksaan ialah teknik menjawab soalan, teknik mudah matematik, dan teknik-teknik lain yang sememangnya berguna, tetapi hanya ketika musim peperiksaan dan bersifat jangka pendek. Maka terhasillah pelajar-pelajar Melayu yang 'studi untuk exam, lepas exam semua lupa'. Akibatnya, pelajar Melayu akan menghadapi masalah apabila mereka mula menjejakkan kaki di dunia universiti. Di sini, khususnya bagi mereka yang belajar di luar negara, golongan-golongan yang tidak benar-benar mengingati, menguasai dan memahami bidang yang diceburi pasti tidak akan cemerlang. Ini kerana pembelajaran di universiti lebih bersifat praktikal dan lebih ke arah amali, sebaliknya pembelajaran di sekolah lebih bersifat teori dan lebih menumpukan ke arah kecemerlangan peperiksaan.

Sepanjang saya mempelajari ilmu-ilmu perubatan yang dicurahkan oleh pensyarah-pensyarah Universiti Al-Azhar (kesemuanya lulusan PhD dari pelbagai universiti serata dunia, dan terlibat dalam pelbagai kajian saintifik yang tidak mampu saya sebutkan di sini dek kerana terlalu banyak), saya sempat mendapatkan beberapa petua yang berguna dalam memantapkan ingatan. Saya cuba menyimpulkan petua-petua tersebut dalam catatan kali ini, mudah-mudahan ia menjadi rujukan berguna buat kita semua dalam kehidupan harian kita, khususnya dalam pelajaran dan pekerjaan kita.

p/s: buat para pendidik, terapkanlah petua-petua ini kepada anak-anak didik. Kepada sahabat-sahabat penuntut ilmu, sama-samalah kita menjadi golongan yang mendengar perkataan dan mengambil yang baik darinya.

1 - Ilmu itu milik Allah. Maka seeloknya kita meminta dari Allah untuk segala ilmu dan pengetahuan yang ingin kita hafal. Hadis Nabi Muhammad SAW yang mafhumnya bermaksud ilmu Allah itu umpama lautan, dicucuk jarum dan setitis yang melekat pada jarum itulah ilmu Allah yang diberi kepada manusia. Justeru, mintalah ilmu dari Allah, dan mintalah kekuatan ingatan juga dari Allah, kerana Allah yang menjadikan kita dan Maha Kuasa untuk mengubah kejadian kita.

Teori lama mengatakan sel-sel baru akan terbentuk selaras dengan penyimpanan memori, tetapi kajian saintifik terbaru menunjukkan bahawa sel-sel otak akan berubah secara struktur apabila sesuatu data disimpan, dan sekaligus menafikan teori lama di atas. Ingatlah, sesungguhnya sel-sel tersebut tidak akan berubah sama sekali melainkan dengan izin dan kuasa Allah, Tuhan Yang Menguasai diri kita dan segala struktur di dalamnya.

2 - Ilmu itu cahaya, dan tidak ada cahaya dalam kegelapan. Kegelapan di sini dimaksudkan secara maknawi merujuk kepada maksiat. Tiada cahaya dalam kegelapan, maka tiadalah juga ilmu dalam kemaksiatan.

Maksiat menggelapkan hati dan mengeraskannya dari menerima sesuatu yang positif. Secara psikologi, perlakuan maksiat akan menyebabkan pemikiran kita hilang fokus. Lelaki yang selalu melihat sesuatu yang menaikkan nafsu syahwat akan teringat-ingat kepada perkara tersebut. Begitu juga pasangan yang saling mencintai akan menyebabkan mereka saling terbayang antara satu sama lain. Kebiasaannya, gangguan ini akan datang ketika minda sedang berusaha menumpukan kepada pembelajaran, justeru mengganggu fokus minda kita.

3 - Masa optimum untuk mengulangkaji. Masa terbaik ialah semasa badan kita segar dan kurang gangguan luar. Seeloknya, ulangkaji selepas tidur sebentar lebih membantu dalam penyimpanan memori. Antara masa terbaik ialah sebelum dan selepas solat Subuh dan selepas solat Maghrib.

4 - Wujudkan masa rehat untuk otak kita. Masa rehat ini bukan digunakan untuk berbual, menonton televisyen, dan lain-lain aktiviti yang mengganggu tumpuan otak. Tetapi masa ini merupakan masa untuk memanggil balik data-data yang telah disimpan dalam otak kita. Tutuplah buku, cuba untuk mengeluarkan kembali informasi yang telah dipelajari. Antara kaedah yang baik ialah dengan sesi pembelajaran selama 20 minit, kemudian diselangi sesi rehat selama 10 minit.

5 - Keadaan sekeliling membantu penyimpanan memori. Cuba dapatkan keadaan yang tidak terlalu senyap sehingga mengantuk, tetapi tidak pula terlalu terlalu bising sehingga tumpuan terganggu. Seeloknya dapatkan keadaan dengan sedikit bunyi-bunyian yang tidak menarik perhatian, dan bacaan Al-Quran yang perlahan merupakan bunyi yang terbaik untuk digunakan, dengan harapan kita mendapat keberkatan Al-Quran itu sendiri. Muzik akan mengganggu tumpuan otak secara tidak disedari, justeru, jauhkan diri dari mengulangkaji berlatarbelakangkan muzik.

6 - Menggunakan sebanyak mungkin cara mendapatkan memori. Memori boleh didapati dengan melihat dan membaca, mendengar, menulis, amali, dan memikirkan. Kepelbagaian penggunaan cara ini boleh merangsang sensitiviti penyampaian maklumat antara neuron(synaptic sensitization). Contohnya, membaca dengan suara rendah, menulis kembali ilmu, dan menjawab soalan tentangnya boleh memudahkan ingatan.

7 - Pengulangan. Ulanglah bacaan, setelah itu ulang lagi. Penghafal Al-Quran menghafal kalam-kalam Allah dengan teknik ini. Ayat-ayat tersebut diingati tulisannya, bacaannya, cara menyebutnya, kadangkala kedudukan ayat pada muka surat turut diingati. Ingatan tersebut pula kekal dalam memori mereka selama bertahun-tahun, juga melalui pengulangan. Pengulangan juga bermaksud mengulangkaji pelajaran baru pada hari ia dipelajari. Memori manusia terdedah kepada perubahan dan gangguan semakin lama ia tidak diulangi.

8 - Menghubungkaitkan. Pengalaman sendiri lebih diingati berbanding cerita tentang pengalaman orang lain. Jika kita tidak mampu untuk mendapatkan pengalaman tersebut secara realiti, cubalah dapatkan pengalaman tersebut secara bayangan atau imaginasi. Bayangkan kitalah tokoh yang disebut dalam buku teks sejarah itu, atau kaitkan ia dengan pengalaman lampau kita, contohnya kemerdekaan negara dikaitkan dengan permulaan kita hidup berjauhan dengan ibu bapa, atau perjanjian Pangkor dengan perjanjian yang kita pernah buat. Perbandingan antara 2 subjek yang lebih kurang sama membantu dalam penyimpanan dan panggilan semula data.

9 - Bahan yang merangsang ingatan. Kurma, kismis, habbatus sauda', dan lain-lain makanan daripada Sunnah Nabi Muhammad SAW sudah pastinya membantu ingatan, kerana kita yakin Nabi Muhammad SAW merupakan contoh terbaik dalam segala aspek kehidupan. Selain itu, teh dan kopi dalam kuantiti yang sesuai boleh membantu dalam penyampaian maklumat antara neuron, justeru membantu ingatan.

Mudah-mudahan Allah menerima usaha saya yang sedikit ini. Sekian, wassalam.

Rabu, Mac 10, 2010

Kembalinya Sheikh Muhammad Sayyid Tantawi Ke Rahmatullah


Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan kewafatan Sheikh Dr. Muhammad Sayyid Tantawi, Sheikh Al-Azhar Ash-Sharif pada pagi Rabu dalam usia 82 tahun. Pemergiannya dirasai dan ditangisi Umat Islam seluruhnya, khususnya kami penuntut-penuntut di Universiti Al-Azhar Ash-Sharif.

Teringat satu Hadis Nabi Muhammad SAW mengenai tanda-tanda Qiamat. Salah satunya ialah diangkatnya ilmu dari muka bumi, maka manusia akan merujuk kepada orang yang jahil, yang mana dia itu sesat dan dia akan menyesatkan orang lain. Para Sahabat RA bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai bagaimana caranya ilmu itu diangkat? Rasulullah SAW menjawab ilmu itu tidak dilupakan dari ingatan manusia, tetapi Allah mengangkat ilmu itu dengan mematikan Ulama'.

Ayuh kita memuhasabah diri kita dan bertaubat sebelum terbitnya mentari dari ufuk barat. Marilah kita beristighfar sebelum nyawa sampai ke kerongkong. Mudah-mudahan Allah menerima taubat kita dan mengampuni dosa-dosa kita semua, Amin.