Rabu, September 30, 2009

Aidilfitri di perantauan

Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua pelawat-pelawat blog ini.

Aidilfitri merupakan hari kemenangan Umat Islam seluruh dunia selepas mereka berjaya melawan nafsu selama sebulan. Di Malaysia, Aidilfitri disambut dengan penuh meriah. Juadah yang pelbagai, pakaian yang berwarna-warni, amalan ziarah, dan yang paling penting buat anak-anak, hari mendapat duit raya. Namun, bagi saya yang menyambut Aidilfitri di perantauan buat kali pertama, satu pengalaman baru bagi saya apabila saya menyambut Aidilfitri tanpa semua perkara tersebut.

Pengalaman beraya di Bumi Anbia mengajar saya banyak perkara. Bagi saya, pemergian Ramadhan bukanlah satu perkara yang patut diraikan oleh Umat Islam. Perginya Ramadhan bererti perginya rahmat, keampunan dan keselamatan dari azab neraka, begitu juga perginya malam yang lebih baik dari seribu bulan. Oleh kerana itu, masyarakat Mesir lebih menyambut kedatangan Ramadhan dari menyambut pemergiannya. Mungkin ini satu amalan yang lebih patut diamalkan oleh Umat Islam.

Oleh kerana itu, sambutan Aidilfitri di Mesir tidaklah sehebat di Malaysia. Menyambut Aidilfitri tanpa lagu-lagu raya terasa sangat janggal bagi saya. Tambahan lagi, ini juga kali pertama saya menyambutnya tanpa berada di pangkuan keluarga. Memang terasa syahdunya. Namun, saya tabahkan hati kerana saya tahu keberadaan saya di sini bukanlah atas alasan yang sia-sia. Doakan saya dianugerahkan ketabahan untuk terus menimba ilmu di Ardhul Kinanah ini.

Sekian dari saya...

1 ulasan:

  1. semoga tabah di perantauan dan kecapi apa yg diidamkan..insyaAllah...amiin..

    BalasPadam