Ramadhan telah 9 hari meninggalkan kita. Ramadhan yang telah pergi meninggalkan saya dengan beberapa persoalan yang saya fikir penting, antaranya "adakah aku tergolong dalam golongan yang melalui Ramadhan, tetapi dikatakan sebagai celaka oleh Rasulullah SAW?" sebagaimana mafhum hadis Nabi SAW, celakalah, celakalah, celakalah, barangsiapa yang Ramadhan berlalu tapi dia tidak diampuni. Sama-samalah kita muhasabah diri.
Saya berpendapat Ramadhan sebenarnya merupakan satu kawasan R & R dalam perjalanan hidup hamba bertemu Yang Maha Esa. Ramadhanlah tempat hamba menyegarkan rohani yang kian lesu dek perjalanan insani yang dipenuhi maksiat dan dosa-dosa. Ramadhanlah tempat bersuci dari debu-debu dosa yang hinggap di hati ini di kala menempuh onak dan duri.Ramadhan jugalah tempat hamba menyemak kembali kompas perjalanan menuju syurga Ilahi yang hakiki dan kekal abadi.
Justeru, saya menyeru kepada semua Umat Islam di celah-celah kesibukan kita menyambut Aidilfitri supaya jangan meninggalkan amalan-amalan kita di bulan Ramadhan. Jika kita di bulan Ramadhan menyempurnakan solat 5 waktu di masjid, selepas Ramadhan janganlah kita tinggalkan amalan tersebut. Jika dalam Ramadhan kita rajin membaca Al-Quran, rajinlah juga membacanya di luar Ramadhan. Mudah-mudahan kita tidak mensia-siakan Ramadhan yang telah berlalu.
Akhir kalam, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua Umat Islam, Maaf Zahir dan Batin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan