Selasa, Mac 11, 2014

KRITIK DAN KAEDAHNYA YANG SYAR’IE


Ringkasan dari kitab Tasawwur Asasi Gerakan Islam (Anjadiyyat Tasawwur Al-Haraki lil-amal al-Islami) tulisan Ustaz Fathi Yakan.

PENGENALAN

Manusia tidak boleh lari dari berbeza pendapat. Ia merupakan sesuatu yang biasa. Dari zaman Nabi Muhammad SAW sehingga hari ini, perbezaan pendapat pasti akan ada. Kritik atau apa yang dinamakan dalam Al-Quran “At-Tawasi bil-haq” (berpesan-pesan pada kebenaran) ialah kewajipan Syar’ie seseorang Muslim apabila dia melihat sesuatu keaiban atau penyelewengan.

SYARAT-SYARAT KRITIKAN

Islam mewajibkan Muslim berpesan-pesan kepada kebenaran, tetapi ia dilaksanakan dengan beberapa syarat:
1-Siasat kebenaran.
2-Siasat tujuan.
3-Siasat cara untuk menyampaikan kritikan.
4-Siasat tajuk.
5-Lapang dada.

1-SIASAT KEBENARAN.

Saudara Muslim hendaklah menyelidik terlebih dahulu kebenaran sesuatu berita dan khabar sebelum ia mengkritik. Banyak khabar angin yang tidak benar sama sekali. Sesuatu kritik tidak boleh dibuat berdasarkan syak dan sangkaan, tetapi mestilah ada bukti-bukti kukuh dan dalil-dalil yang Qat’ie. Maksud Hadis Nabi Muhammad SAW: “Jauhilah kamu dari sangkaan kerana sangkaan itu adalah cakap yang paling bohong.” (Bukhari)

2-SIASAT TUJUAN.

Dimaksudkan di sini ialah saudara pengkritik hendaklah mengkaji rancangan-rancangan yang mendorong ia mengkritik, kerana ditakuti rancangan-rancangan itu didorong oleh hawa nafsu seperti hendak membalas dendam, menghina, atau tujuan-tujuan jahat. Saudara Muslim mestilah segera menghentikan kritikannya sekiranya rangsangannya itu tidak jelas dalam dirinya dan sekiranya dia merasa perbuatannya itu bukan didorong oleh niat mencari keredhaan Allah SWT dan untuk kepentingan Islam.

3-SIASAT CARA-CARA UNTUK MENYAMPAIKAN KRITIKAN.

Saudara Muslim hendaklah menyiasat dan mencari cara terbaik untuk menyampaikan kritikan, baik dari segi medium penyampaian mahupun pemilihan perkataan yang digunakan. Syarat memberi peringatan ialah menasihati pada kebenaran dan bukan kebatilan.

Adalah lebih baik nasihat itu diberi secara berseorangan, kerana cara ini lebih berkesan dalam dirinya dan lebih selamat dari dipengaruhi syaitan. Lebih baik saudara Muslim menyampaikan kritikan dengan adab, sopan dan merendahkan suara. Pilihlah perkataan yang baik.

Berkasar dan lepas cakap dalam kritik dan memberi nasihat membawa kepada penutupan pintu hati dan telinga. Sementara lemah lembut dapat membuka perasaan untuk mendengar nasihat dan dapat memberi kesan di jiwa. Dengan ini terlaksanalah kebaikan yang disebabkannya dituntut memberi nasihat.

4-SIASAT TAJUK.

Kepada pengkritik, hendaklah ia mengemukakan dalil Syara’ dalam nasihatnya agar dapat menguatkan pendapatnya dan sudut pandangannya. Perbincangannya dengan saudaranya hendaklah dengan tajuk yang sesuai dan sederhana, jauh dari meyimpang dan keterlaluan supaya perkara itu tidak bertukar kepada pertengkaran dan perbahasan serta tidak dikongkong oleh perasaan dan nafsu atau dipermainkan oleh syaitan. Dikhuatiri rosak Ukhuwwah yang terbina antara ahli Jemaah.

5-LAPANG DADA.

Akhir sekali, Muslim yang memberi dan menerima nasihat kedua-duanya hendaklah bersikap sabar dan lapang dada. Hendaklah ia menjadi pemangkin untuk kedua-duanya mendapatkan keredhaan Allah SWT lebih-lebih lagi dalam berpegang teguh kepada kebenaran. Sama sekali tidak boleh memenangkan satu pihak dan menjatuhkan satu pihak lagi.

Wallahua’lam...

Isnin, Februari 10, 2014

POLITIK ISLAM MENOLAK MACHIAVELLIANISM

Politik merupakan salah satu aspek penting dalam kehidupan. Melaluinya, kita diberi peluang menyuarakan pandangan dalam memilih pimpinan yang akan menguruskan dan mentadbir hal-ehwal negara. Islam menganjurkan kita memilih pemimpin walaupun dalam pemusafiran seramai 3 orang. Dalam dunia kontemporari, politik dan demokrasi menjadi wasilah paling sesuai dalam menentukan siapa pemimpin.Saya yakin tiada siapa yang menafikan kepentingan politik dalam sesebuah negara.

Realiti dunia politik kontemporari, ramai aktivis politik dilihat begitu ghairah mengejar kekuasaan dan pengaruh sehinggakan menggunakan pelbagai cara yang tidak berlandaskan syariat Islam dan tidak menepati etika moral dan kemanusiaan. Inilah yang dipanggil “Machiavellianism”. Bahasa mudahnya, matlamat menghalalkan cara. Demi jawatan, apa sahaja cara boleh digunakan.

Machiavellianism tidak dibenarkan dalam Islam. Kaedah Fiqh Islam menyebutkan [الغاية لا تبرر الوسيلة] yang bermaksud ”matlamat tidak menghalalkan cara”. Dalam Islam, walaupun ketika sedang berpolitik, Akhlak Islamiah dan adab serta prinsip kemanusiaan tidak boleh dilanggar sesuka hati.

Kita akan sebutkan beberapa perkara yang dilakukan sebagai iktibar untuk kita.

********
1-Politik Samseng.

Bandar Ipoh telah menyaksikan satu peristiwa berdarah di mana Flashmob Kempen Pakatan Rakyat (PR) bertembung dengan Konvoi We Love PM dari Barisan Nasional (BN). Peristiwa yang berakhir dengan pergaduhan antara kedua-dua kumpulan telah menyaksikan beberapa orang cedera ringan. Di Temerloh pula, bungkusan berisi kepala ayam dan darah telah dibaling ke dalam kawasan rumah calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi. Kita juga dapat lihat betapa banyak kes merosakkan poster, samseng datang mengganggu ceramah politik, dan bermacam-macam lagi tindakan ala samseng yang dilaksanakan.



Sebagai Muslim, seharusnya timbul persoalan, “Bagaimana golongan sebegini akan mampu memimpin negara?”. Politik dalam Islam bukan begini, dan di Malaysia tidak sepatutnya begini. Bukanlah siapa samseng itulah hebat dan siapa kuat dialah betul. Ini digelar undang-undang rimba.

Politik samseng haruslah dihentikan.

2-Memfitnah pihak lawan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: dan fitnah itu lebih besar dari pembunuhan (Al-Baqarah: 191)

Kita menyaksikan pra PRU-13 bagaimana budaya politik fitnah semakin berleluasa. Kita dapat lihat kes yang berlaku di mana surat palsu PAS disebarkan. Selain itu, terdapat juga fanpage palsu di Facebook menggunakan nama DS Najib Razak. Di dalam keduanya diletakkan maklumat palsu, arahan palsu, bahkan dibuat sehingga ramai yang menyangka ia tulen.

Dalam Islam, ada perbezaan antara tipu helah dalam peperangan dengan fitnah seperti ini. Lebih-lebih lagi dalam politik zaman sekarang yang menekankan kebebasan bersuara, ketepatan informasi, dan kekuatan hujah, tidak sepatutnya fitnah sebegini dilakukan. Taktik ini dipandang keji dan dianggap kotor oleh masyarakat. Fitnah sebegini mengelirukan rakyat, dan jika penipuan itu terbongkar, boleh menyebabkan penyokong sesebuah parti politik lari dek kerana kotornya tindakan tersebut.

Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

3-Padang pertarungan yang tidak rata.

PRU-13 menimbulkan pelbagai persoalan yang tidak terjawab berkaitan ketelusan dan integriti Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia. Ramai yang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan ketelusan dan keadilan pilihanraya, lebih-lebih lagi Pakatan Rakyat. Yang pasti, tuduhan mereka bukanlah tidak berasas.


Lihat sahaja bagaimana keputusan penjumlahan Borang 14 yang mengelirukan. Lihat sahaja bagaimana dakwat yang dikatakan kekal 5-7 hari hilang dengan basuhan pertama. Bahkan terdapat individu yang mengaku boleh mengundi 2 kali tanpa halangan! Tidak dinafikan sebahagian individu yang mengadu tidak dapat mengundi kerana penyamaran. Begitu juga tuduhan terdapat pengundi hantu atau pengundi ‘import’ dari luar negara dan kes terputus bekalan elektrik yang banyak berlaku. Di Perak, kita menyaksikan bagaimana calon K Vasantha Kumar dan wakil parti (Counting Agent) dihalang dari menyaksikan proses pengiraan undi.


Kita juga dapat lihat bagaimana Pakatan Rakyat dinafikan akses kepada media. Mereka hanya ditawarkan 10 minit untuk membentangkan manifesto mereka, manakala Barisan Nasional telah menggunakan saluran televisyen, akhbar dan radio seluas-luasnya untuk berkempen. Akses media tidak adil ini telah memberikan kelebihan kepada parti pemerintah untuk berkempen menerangkan manifesto, dan menjawab tohmahan pembangkang, manakala pembangkang tidak diberikan peluang yang sama. Kesan akses media tidak adil ini dapat dilihat di kawasan pedalaman. Mereka tidak dapat mengkaji manifesto pembangkang kerana mereka tiada akses internet. Mereka hanya mendapat informasi melalui akhbar, televisyen dan radio sahaja yang semuanya dikuasai oleh parti pemerintah.

Selain itu, ‘gerrymandering’ juga dapat dilihat secara jelas di Malaysia. Gerrymandering ditakrifkan sebagai cubaan mendapatkan kecenderungan kepada sesuatu pihak tertentu melalui proses persempadanan semula kawasan. Graf di sebelah membuktikan bagaimana BN memenangi majoriti mudah dalam Parlimen melalui kerusi-kerusi yang tidak ramai pengundi. Kawasan-kawasan ini sukar dicapai oleh PR kerana akses media yang tidak adil. Justeru, tidak hairanlah pengundi di kawasan ini mengundi Barisan Nasional.

Sebagai Muslim, kita mengharapkan satu padang pertarungan yang rata. Jika dalam sukan kita mahukan pengadil yang adil, apatah lagi dalam satu pertembungan politik yang akan menentukan masa depan rakyat dan negara. Sudah pastinya kita mahukan pertandingan yang adil dan telus.

Kalah dengan bermaruah lebih baik dari menang dengan terhina.

4-Politik Perkauman

Agama Islam menolak jurang sentimen perkauman. Baik ia wujud dalam sukan, politik atau dalam profesyen masing-masing. Justeru, kita menolak sekeras-kerasnya cubaan mana-mana pihak untuk membangkitkan sentimen perkauman untuk meraih undi.

Sejarah tidak menafikan peranan sentimen perkauman ini dalam politik Malaysia. Kita telah diajar di dalam subjek Sejarah bagaimana Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah memisahkan Singapura dari Malaysia kerana Lee Kuan Yew berkempen untuk Parti Tindakan Rakyat (People’s Action Party, PAP) dengan menggunakan sentimen perkauman.


Justeru, cubaan beberapa pihak termasuk akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo (lihat gambar) mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab yang melampau. Adakah sepatutnya mereka sanggup mengorbankan keamanan negara demi kepentingan politik parti tertentu?

Agama Islam menolak Rasism.

5-Penyebaran bahan lucah

Pada tahun 1998, kita digemparkan dengan tuduhan liwat DS Anwar Ibrahim. Tuduhan yang sama diulang pada tahun 2008. Pada tahun 2011, kita digemparkan pula dengan penyebaran video seks Anwar Ibrahim. Pada tahun 2013, kita sekali lagi digemparkan dengan penyebaran video seks Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS. Penafian telah dibuat oleh individu berkaitan.

Namun yang menjadi persoalan di sini ialah di mana nilai kesopanan Melayu yang kita pelihara selama ini? Menyebarkan video lucah di internet untuk tatapan umum bukanlah satu perkara yang baik. Jika benarpun tuduhan tersebut, bukankah lebih baik video tersebut diserahkan kepada pihak polis dan laporan polis dibuat mengenainya? Mengapa harus ia dimuat naik?

Menyebarkan video lucah menggambarkan keruntuhan akhlak Islamiah yang serius. Sebagai Muslim yang berakhlak dan bermoral, kita seharusnya menolak pihak yang melakukan tindakan sebegini dari mendapat mandat memerintah.

6-Khianat.

Islam menyeru umatnya supaya memenuhi perjanjian walaupun perjanjian tersebut dilakukan dengan non-Muslim.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; Sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.(An-Nahl:91)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.(Al-Hajj:38)

Kita dapat lihat sebahagian individu yang telah berjanji untuk berpakat dengan pihak lain mengkhianati perjanjian semata-mata untuk mencari keuntungan peribadi atau parti sendiri. Ada yang setelah berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat sepanjang tempoh penggalnya, telah meletakkan jawatan sesuka hati. Ada pula yang mengambil langkah mengkhianati kepercayaan rakyat dengan melompat parti.

Kita harus sedar bahawa sifat Khianat ini bukan sahaja diharamkan oleh Islam, bahkan nilai moral kemanusiaan juga menolaknya. Sifat ini merupakan sifat keji yang dikaitkan dengan golongan Munafiq. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, ”tanda Munafiq itu 3, apabila berkata dia berbohong, apabila berjanji dia mungkiri, apabila diberi kepercayaan dia khianati.”

Jika rakan politik pun dia sanggup khianati, rakyat bawahan apatah lagi?

********
Melihat Machiavellianism yang berleluasa ini, maka apa harapan dan tindakan kita selaku Muslim? Beberapa tindakan yang boleh saya sebutkan di sini ialah:

1-Menolak & menentang mana-mana pihak yang mengamalkan Machiavellianism.

Mana-mana individu, parti atau gabungan parti yang mengamalkan Machiavellianism haruslah ditolak. Mereka yang mengamalkan prinsip ini tidak boleh dipercayai untuk memegang tampuk pemerintahan. Tiada jaminan mereka tidak akan membodohkan rakyat apabila mereka berkuasa. Tiada jaminan mereka ini tidak akan menindas rakyat sekiranya mendapat kuasa untuk kepentingan diri atau parti.

Mereka ini ibarat penjenayah yang berselindung di balik nama demokrasi untuk menghalalkan jenayah mencuri, mengugut dan samseng mereka. Mencuri yang dimaksudkan ialah menggelapkan duit rakyat. Mengugut dalam konteks politik Malaysia ialah mendiamkan pihak yang tidak sependapat dengan mereka melalui undang-undang bersifat kuku besi, penggunaan angkatan bersenjata, penarikan bantuan kewangan dan lain-lain untuk kepentingan politik. Samseng dari segi tindakan apabila pihak yang berbeza pendapat dinafikan bukan dengan hujah, tetapi ditentukan melalui prinsip ‘siapa kuat dia betul’.

2-Perbandingan ilmiah dan politik hujah.

Di alam pelajar, kita dilatih untuk berdebat untuk menyampaikan idea kita. Sejak zaman sekolah rendah lagi, guru-guru mencari, melatih dan menghantar bakat-bakat pendebat ini untuk pelbagai pertandingan yang diadakan di peringkat zon, daerah, negeri dan kebangsaan.

Namun sayangnya, apabila mereka meningkat dewasa dan masuk ke kancah politik, bakat yang ada ini disia-siakan. Tiada arena debat yang luas yang membolehkan mereka menyampaikan idea dan pemikiran kepada seluruh rakyat Malaysia. Amatlah rugi kerana sebelum PRU-13, tiada debat antara manifesto BN dan PR dijalankan untuk rakyat membandingkan. Mahasiswa mengharapkan untuk PRU-14, akan diadakan debat antara calon Perdana Menteri Malaysia, misalnya antara DS Najib Razak melawan DS TG Haji Abdul Hadi Awang.

3-Padang pertarungan sama rata

Kita mahukan keadilan dalam pertarungan dan perlumbaan. Kita mahu PRU-14 dan seterusnya diadakan dalam keadaan yang adil untuk semua pihak. Kita mahu akses media yang lebih adil untuk kita menilai secara terbuka antara semua pihak yang bertanding. Kita mahu tiada salahguna aset kerajaan untuk kepentingan mana-mana parti. Kita mahu calon bertanding dan menang atas kredibiliti dan kualiti yang ada, bukan kerana kroni.

4-Bebaskan SPR dari Jabatan Perdana Menteri

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) haruslah dibebaskan dari sebarang pengaruh politik dan dapat menjalankan pilihanraya secara adil & telus. Dengan meletakkan SPR di bawah Jabatan Perdana Menteri, tidak dapat tidak ia akan dipengaruhi oleh parti pemerintah. SPR harus diletakkan di bawah satu entiti non-partisan seperti Majlis Raja-raja Melayu dan dibebaskan sepenuhnya dari pengaruh parti politik, baik pemerintah atau pembangkang.

5-Campurtangan Majlis Raja-raja

PRU-13 dilihat sebagai PRU paling kotor kerana terdapat berbagai-bagai aduan mengenai kredibiliti SPR. Jika aduan ini dibiarkan tanpa tindakan, rakyat yang kecewa dengan keadaan ini mungkin akan turun ke jalanan mengadakan demonstrasi, dan mungkin juga revolusi. Jika ini berlaku, keamanan & kestabilan negara sudah pastinya terjejas. Bahkan ia boleh mencetuskan perang saudara yang akan menghancurkan negara. Justeru, kita mahu campurtangan Majlis Raja-raja dalam memastikan PRU-14 dan seterusnya dijalankan secara adil dan telus.

6-Kebebasan menyokong dan membangkang dalam konteks Islam.

Malaysia diiktibarkan sebagai negara demokrasi. Justeru, kebebasan rakyat untuk memilih, dan menyokong mana-mana parti dan calon haruslah ada. Tidak adil sekiranya rakyat hanya dibenarkan menyokong parti pemerintah. Tidak demokratik juga sekiranya individu yang menyokong parti pembangkang ditarik bantuan, dibuang kerja dan dinafikan hak sebagai rakyat Malaysia. Dalam masa yang sama, kita tidak menafikan keperluan untuk membataskan kebebasan bersuara ini supaya tiada kebebasan dalam menimbulkan sentimen perkauman atau penyebaran ideologi yang terpesong seperti ideologi Komunis.

********

Apa yang berlaku hari ini menjadi iktibar buat aktivis politik dan kita selaku generasi pelapis kepimpinan negara akan datang. Jika Machiavellianism ini dibiarkan berterusan, negara Malaysia juga yang akan hancur. Maka, Machiavellianism haruslah dihentikan, dan politik Islam yang sihat harus disuburkan.

JOM CAKNA POLITIK.

Khamis, Januari 09, 2014

RAHMAT UNTUK SEMUA; PRINSIP ISLAM DALAM BERINTERAKSI DENGAN NON-MUSLIM


MUQADDIMAH

Islam diturunkan melalui Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat untuk seluruh alam. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutuskan kau (wahai Muhammad) kecuali sebagai rahmat kepada seluruh alam.”

Tema PAS "Rahmat Untuk Semua" dilihat sangat bertepatan dengan keadaan masyarakat majmuk di Malaysia. Saya melihat ini satu usaha yang sekiranya berjaya, mampu mengubah lanskap Malaysia ke arah yang lebih baik. Melalui tema ini, PAS yang dilihat sebelum ini sebagai “parti Islam konservatif” dalam kalangan non-Muslim, boleh mengorak langkah dengan menghulurkan tangan perhubungan antara Muslim dan non-Muslim di Malaysia.

Dalam berurusan dengan non-Muslim, ada beberapa prinsip yang perlu dijaga. Prinsip ini digariskan supaya kita tidak melampau dalam mengajak mereka memeluk Islam, dalam masa yang sama tidak mengeksklusifkan rahmat yang dibawa Islam kepada bangsa Melayu sahaja.

1-KETIDAKPAKSAAN DALAM MEMELUK ISLAM

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud: “Tiada paksaan untuk menganut Islam, sesungguhnya telah jelas kebenaran dari kesesatan.”

Islam tidak mengajar penganutnya memaksa non-Muslim untuk menganut Islam, walaupun ketika Islam sedang berkuasa. Islam menyeru umatnya mengajak mereka kepada Islam dan menerangkan tentang Islam, namun Muslimin tidak sekali-kali dibenarkan untuk memaksa mereka menganut Islam. Ini kerana hidayah milik Allah SWT yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan bukannya secara paksaan. Memaksa non-Muslim menganut Islam hanya akan membuatkan mereka mengaku Muslim tetapi tidak membenarkan dengan hati.

Justeru, PAS tidak akan sama sekali memaksa non-Muslim memeluk Islam. PAS sudah pastinya perlu menjaga hak setiap individu untuk memilih samada mahu memeluk Islam atau kekal dalam agamanya.

2-KEADILAN

Islam menuntut umatnya berlaku adil kepada sesiapa walaupun terhadap non-Muslim. Lebih-lebih lagi kepada ahli Zimmah sehingga Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menyakiti ahli zimmah, maka aku akan jadi pembelanya. Dan sesiapa yang memusuhi ahli Zimmah, maka aku akan memusuhinya.”

Islam telah menetapkan bahawa rakyat berstatus Zimmi yang ada di negeri Islam atau mana-mana negeri di bawah naungan Islam mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama dengan Muslimin. Tentera Daulah Islam juga wajib berperang melindungi mereka sama seperti mereka berperang melindungi Muslimin. Begitu juga dalam menghukum, hakim haruslah menyelidik dengan mendalam semua kes antara Muslim dan non-Muslim yang dihadapkan kepadanya supaya tiada non-Muslim yang dizalimi.

Rasulullah SAW pernah berdiri kerana menghormati jenazah Yahudi kerana Baginda SAW menganggap dia juga seorang manusia. Rasulullah SAW juga menghormati hari kebesaran Yahudi iaitu hari Sabtu dan menegaskan bahawa mereka tidak akan diganggu pada hari tersebut. Dalam peperangan, tentera Islam diharamkan merobohkan rumah ibadah. Sayyidina Ali KW ketika beliau sedang menjadi Khalifah, telah membawa isu kehilangan baju besinya yang dilihat ada di tangan seorang lelaki bukan Islam kepada Qadhi Syuraih. Beliau seorang Khalifah telah menyerahkan penghukuman urusannya kepada Qadhi kerana ingin mengelak dari menzalimi lelaki tersebut. Ini merupakan antara contoh-contoh bagaimana pemerintah yang mengamalkan Islam sebenar tidak akan sesekali menzalimi penganut agama lain.

3-BERTOLAK-ANSUR

Banyak peristiwa dari Sirah Nabawiyyah yang menggambarkan toleransi Baginda Nabi Muhammad SAW terhadap non-Muslim. Prinsip ini telah diterapkan samada dalam keadaan peperangan ataupun aman.

Antara bukti toleransi Rasulullah SAW terhadap non-Muslim ialah ketika perjanjian Hudaibiah. Selain itu, ia juga terbukti atas tindakan Nabi Muhammad SAW ke atas seorang perempuan yang cuba meracuninya, dan seorang lelaki Yahudi yang menyihirnya. Rasulullah SAW bukan sahaja tidak menghukum mereka berdua, bahkan memaafkan mereka.

Sesungguhnya Islam tidak mengajar umatnya untuk mengasingkan diri dari non-Muslim, sehingga mereka menjadi terpulau, renggang dan terasing. Tetapi bagi agama Islam, ahli Zimmah itu seharusnya diselubungi suasana perkongsian sosial, belas kasihan, kesopanan, serta percampuran sehingga mereka merasa selesa dan tidak asing untuk tinggal dalam masyarakat Muslimin.

Bukankah ini satu bentuk dakwah kita kepada mereka juga?

4-MENEPATI JANJI

Islam menegaskan kepada umatnya supaya menepati sebarang janji yang dilakukan walaupun kepada non-Muslim. Dalam Sirah Nabawiah, tidak pernah berlaku situasi di mana Nabi Muhammad SAW melanggar perjanjian, walaupun terhadap non-Muslim. Allah SWT memerintahkan Umat Islam supaya menyempurnakan perjanjian dengan non-Muslim yang menghormati perjanjian tersebut. Firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat 4 yang bermaksud: “Kecuali orang-orang Musyrikin yang kamu telah mengadakan perjanjian dengan mereka, kemudian mereka tidak mengurangi sesuatupun dari perjanjian kamu, dan tidak membantu sesiapa yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah janjimu kepada mereka sehingga habis waktunya.”

Tuntutan memenuhi perjanjian ini adalah dengan syarat pihak bukan Islam juga memenuhi syarat perjanjian tersebut. Sekiranya pihak bukan Islam menjadikan perjanjian tersebut sebagai helah untuk merancang penipuan dan pengkhianatan, maka Muslimin berhak membatalkan perjanjian tersebut. Adapun jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka umat Islam diperintahkan supaya cenderung kepadanya juga.

Harus dibezakan perjanjian dan memberi kesetiaan. Memberi kesetiaan kepada non-Muslim adalah dilarang, namun mengadakan perjanjian dengan mereka adalah dibenarkan. Antara contoh PAS mengadakan perjanjian dengan non-Muslim di Malaysia ialah Tahalluf Siyasi bersama DAP dalam Pakatan Rakyat.

5-RAHMAH DAN KEBAIKAN

Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu dari berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu dan tidak mengusirmu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil. (Surah Al-Mumtahanah:8)

Tiada halangan untuk umat Islam berbuat baik dan berlaku adil kepada non-Muslim. Bahkan, Islam menggesa umatnya melayan mereka dengan baik. Antara contoh:

Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah memberikan satu bahagian dari Masjid Nabawi kepada utusan Najran yang beragama Nasrani untuk mereka bersembahyang di dalamnya. Begitu juga ketika datang perwakilan non-Muslim dari Bani Thaqif untuk bertemu Nabi SAW, Baginda membina khemah untuk mereka dalam kawasan masjid. Nabi SAW juga pernah berpesan supaya menjaga hak jiran tetangga walaupun bukan Muslim.

Dalam perkara ini, Islam menyeru supaya berbaik dengan non-Muslim, dengan syarat mereka tidak merendahkan dan menghina Akidah dan Syiar Islam. Justeru, selagi mana mereka tidak memulakan serangan ke atas kita, kita tidak seharusnya memulakan sebarang bentuk permusuhan dengan mereka. Jika mereka memulakan serangan, kita haruslah membalas namun tidak dibenarkan berlebih-lebihan.

6-POLISI KEAMANAN DAN KESEJAHTERAAN

Islam merupakan agama keamanan dan kesejahteraan. Allah SWT tidak membenarkan umat Islam memerangi kaum non-Muslim yang tidak memerangi mereka. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 90 yang bermaksud: “Tetapi jika mereka membiarkan kamu, dan tidak memerangi kamu, serta menawarkan perdamaian kepadamu, maka Allah SWT tidak memberi jalan untuk kamu ke atas mereka.” Islam juga mengarahkan penganutnya melindungi Musyrikin yang meminta perlindungan dengan umat Islam.

Di antara tatacara kamu Muslimin ialah sekiranya suatu kaum itu masih belum sampai dakwah Islam kepada mereka, tidak dibolehkan memerangi mereka kecuali setelah menyeru mereka kepada Islam dan mereka diberi pilihan. Jika sekalipun telah disampaikan dakwah, sebahagian Fuqaha menggalakkan dipastikan dakwah bagi menegakkan hujah serta menerima keuzuran mereka.

PAS masih lagi mengekalkan pendekatan “muwajahah silmiah” atau “pendekatan aman” yang diamalkan sejak sekian lama. Pendekatan ini haruslah dikekalkan dalam konteks keadaan semasa umat Islam.

7-MENCARI TITIK PERSAMAAN TERLEBIH DAHULU

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 64 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah SWT, dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu apa pun, dan jangan sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah SWT.”

Ayat di atas memberi satu kaedah dalam menyampaikan dakwah kepada non-Muslim iaitu dengan mencari titik persamaan. Antara titik persamaan antara Muslim dengan non-Muslim di Malaysia ialah rakyat Malaysia sama-sama terbeban dengan kenaikan kos sara hidup, kenaikan kadar jenayah, ketirisan kewangan negara, kezaliman pemerintah, dan isu kejelikan pemimpin negara yang tidak pernah selesai. Muslim dan non-Muslim membenci perkara ini, justeru dalam menyampaikan Rahmat Islam kepada semua, PAS seharusnya menjuarai isu-isu ini dan menjelaskan apa sebenarnya cara Islam dalam menyelesaikan isu-isu ini.

Justeru, apabila dibangkitkan tentang peningkatan kadar jenayah, PAS harus menerangkan tentang bagaimana hukum-hukum jenayah mengikut sistem perundangan Islam dan kelebihan-kelebihannya berbanding sistem yang ada. Begitu juga apabila bangkit isu ekonomi, PAS harus menerangkan bagaimana sistem ekonomi Islam lebih baik berbanding sistem ekonomi negara sekarang. Dan begitulah seterusnya. Dengan cara inilah kita akan mampu menarik non-Muslim ke arah Islam dan hukum-hukumnya.

8-BERDEBAT DENGAN CARA YANG BAIK

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl ayat 125: “Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan berhujahlah dengan mereka dengan cara yang baik.”

Islam mensyaratkan kita supaya berhujah dengan cara yang baik. Ini lebih memberi kesan positif kerana dengan berbuat demikian, non-Muslim tersebut akan lebih yakin dengan Islam, dan bukan hanya sekadar mengikut-ikut atau terpaksa.

Dalam berdakwah dengan cara ini, PAS harus menerangkan kekeliruan mereka tentang Islam, dan menunjukkan kekurangan agama dan anutan lain berbanding Islam.

PENUTUP

Pemilihan tema Rahmat Untuk Semua dilihat sebagai satu usaha yang sangat positif ke arah membina jambatan antara agama di Malaysia dalam usaha kita membawa non-Muslim kepada Islam. Justeru, saya sangat mengalu-alukan usaha ke arah ini dan mengharapkan jurang dan batasan yang telah sekian lama terbina antara kaum di Malaysia dapat didekatkan, dan kita dapat menyampaikan keindahan Islam kepada non-Muslim di Malaysia.

Semoga semua pihak bersama menjayakannya.

Sabtu, Disember 08, 2012

KEPIMPINAN DALAM ISLAM





Memilih kepimpinan bukan satu ursan yang boleh dipermudah-mudahkan. Ia melibatkan masa depan sesuatu kaum, kebajikan mereka, mentaliti, dan melibatkan hampir semua aspek kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi dalam satu Mujtama Muslim yang dipanggil PERUBATAN, siapa pemimpinnya menentukan bagaimana PERUBATAN akan bergerak, dan ke mana ia akan membawa kita selaku ahli-ahlinya. PERUBATAN wadah kesatuan kita semua, baik jurusan perubatan, pergigian, atau farmasi. Dari tahun 1 sehingga 6, dari Perlis sehingga Sabah & Sarawak, semuanya boleh disatukan di bawah wadah PERUBATAN.

Terpanggil untuk menjawab beberapa mindset sebahagian pelajar-pelajar PERUBATAN:

1-PERUBATAN tiada kaitan dengan saya.

Bagaimana wadah kesatuan ini dikatakan tiada kaitan dengan kita? Selagimana kita bergelar pelajar jurusan sains kesihatan di Mesir, selagi itulah PERUBATAN akan menjadi tempat kita bersatu.

Saya risau sekiranya pemikiran sebegini berpunca dari sikap ‘ananiah’ atau tidak mahu ambil tahu urusan orang lain. Ingatlah bahawa Umat Islam wajib bersatu, dan perlu ada tempat untuk umat bersatu. Dalam konteks sains kesihatan di Mesir, PERUBATANlah wadahnya.

2-Saya bukan orang kuat PERUBATAN.

Jika kita menyedari hakikat ini, mengapa tidak berusaha untuk turut serta digolongkan dalam golongan yang digelar ‘orang kuat PERUBATAN’ itu?

Satu fakta yang perlu diingati ialah bekerja untuk Jemaah Islam PERUBATAN boleh dikira satu ibadah & mendapat pahala. Maka tidak mahukah kita berlumba-lumba mengerjakan kebaikan?

Berlumba-lumbalah dalam mengerjakan kebaikan (Al-Baqarah: 148)

3-PERUBATAN kini dikuasai oleh ‘the hidden hand’ dan mempunyai ‘agenda tersembunyi’.

Sudah terbuktikah dakwaan ini?

Saya selalu mendengar tuduhan sebegini dilontarkan baik kepada PMRAM, BKPJM dan kini kepada PERUBATAN. Apabila diminta bukti, tiada pula yang tampil menyerahkannya.

Jika seseorang yang fasiq datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya (Al-Hujurat: 6)

Banyak lagi persatuan di Mesir ini yang tidak mengamalkan sistem pilihanraya secara terbuka seperti yang diamalkan oleh PERUBATAN, PMRAM, & BKPJM. Banyak juga persatuan & organisasi yang tidak membentangkan akaun & laporan gerak kerja tahunan secara terbuka kepada ahli-ahlinya. Secara logiknya, persatuan-persatuan ini yang lebih layak lagi dilabelkan sebagai mempunyai ‘agenda tersembunyi’, dan dikuasai oleh ‘the hidden hand’.

Jika benarpun PERUBATAN didakwa dikuasai oleh puak-puak tertentu, bukankah pilihanraya PERUBATAN ini medan terbaik untuk menghilangkan kuasa ‘the hidden hand’ itu?

**************************************************************

Dalam Islam, kepimpinan merupakan sesuatu yang sangat penting. Kepimpinan menetukan masa depan rakyatnya. Bandingkan sahaja pemerintahan Mursi & Mubarak sebagai contoh terdekat sebagai perbandingan antara pemerintah yang baik & jahat dan pemerintah yang adil dan zalim.

 Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitab ‘Fiqh Daulah’ (Kefahaman Berkaitan Kenegaraan) menyamakan tindakan mengundi pemimpin sebagai memberi kesaksian. Mengundi seseorang calon bermakna kita memberi kesaksian bahawa dia lebih baik dari calon yang lain. Maka, sepertimana wajib hukum untuk memberi penyaksian sekiranya diminta, maka wajib juga hukumnya menunaikan kewajipan mengundi dalam pilihanraya. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 282:

Dan janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil...

Maka wajiblah kita memberi kesaksian apabila kita dipanggil. Dan wajib pula memberi penyaksian terbaik semampu mungkin. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Haj ayat 30:

Jauhilah perkataan dusta

Wajib pula memberi penyaksian kerana Allah SWT, bukan kerana calon itu rakan karib dengan harapan akan mendapat manfaat sekiranya beliau menang. Firman Allah SWT dalam Surah At-Talaq ayat 2:

Dan kendaklah kalian dirikan kesaksian itu kerana Allah SWT

Maka di sini timbul persoalan, “Siapakah yang harus dipilih? Berdasarkan kriteria apa Islam menyuruh Umatnya memilih pimpinan?”

Lihat sahaja jawapannya dalam Al-Quran:

An-Nisaa: 59= taatilah Allah SWT dan taatilah Rasul (Muhammad SAW) dan pemimpin di kalangan kamu

Al-Qasas: 26=sebaik-baik orang yang kau pilih (untuk bekerja) ialah kuat & amanah

Al-Baqarah: 247=Berkata Nabi: Sesungguhnya Allah SWT telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu dan menambahkan baginya ilmu dan kekuatan

Al-Fath 29=Muhammad SAW utusan Allah SWT, dan orang-yang bersamanya bersikap keras terhadap Kuffar tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia dan keredhaan Allah SWT, terlihat di wajah mereka tanda sujud…

Al-Hajj: 41=orang-orang yang jika Kami beri kedudukan di bumi mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh kemakrufan, mencegah kemunkaran…

Ini sebahagian dalil yang mampu saya tampilkan. Pilihlah kepimpinan berdasarkan nilai yang ditetapkan oleh Islam. Tunaikan tanggungjawab anda dengan mengundi di Pilihanraya PERUBATAN 2012.

http://jpp.perubatan.org/

Rabu, Ogos 31, 2011

MARI EVALUASI DIRI (Entry Khas Untuk Pelajar Tahun 3 Perubatan Universiti Al-Azhar)

Sedar atau tidak, kita telah berada di Mesir selama hampir 3 tahun. Ini bermakna telah berlalu separuh daripada tempoh pembelajaran kita di Mesir. Ingatkah kita saat kita mula-mula membuat keputusan untuk belajar di Mesir? Pastinya pelbagai faktor menjadi pendorong kita memilih untuk belajar di sini, antaranya ibu bapa, minat mendalami ilmu agama, mengikut rakan, minat mengembara, dan mungkin 1001 macam lagi asbab. Lalu, prosedur seterusnya bermula. Mendapatkan borang, mengisi borang, menghantar dan membayar wang pendahuluan sebanyak RM 200 (jika saya tidak tersilap). Keresahan menunggu keputusan permohonan juga masih saya ingat dengan jelas kerana saya mengambil keputusan untuk tidak mendaftar diri di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia selepas tamat pengajian di Darul Quran JAKIM. Oleh kerana kami generasi pertama yang dihantar melalui prosedur ini, saya ketika itu benar-benar risau jika program tersebut dibatalkan atau menghadapi apa-apa masalah.

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, sampai juga kita di bumi Mesir. Pelbagai rintangan kita lalui sebelum, semasa dan selepas kita tiba di sini. Antara yang tidak dapat dilupakan, lebih-lebih lagi sebagai ahli “Bait Kachak” di tingkat 7 Hayyu Zuhur, pemandu bas menuduh kita mencuri duit kepunyaannya, bersama-sama sesat dan ditipu ketika menaiki kenderaan awam, berhadapan dengan mabahis yang mengugut kita, menyambut kelahiran Ahmad Fahmi Huweidi, dan berbagai-bagai lagi. Tambah manis lagi, kita menghadapinya sesama kita sahaja. Ketika itu, tiada musyrif atau senior yang bersama kita sepanjang masa. Alhamdulillah, 3 tahun berlalu, semua rakan-rakan yang datang bersama kita masih mampu meneruskan kembara ilmu kita di sini.

Kini, tiba masa kita melihat kembali masa lalu. Perlunya kita melihat ke belakang, kerana jika tidak, kita tidak tahu adakah kita sedang berjalan ke hadapan atau telah terpaling kembali ke belakang. Kenangan bersama rakan-rakan memang menyeronokkan, tetapi yang lebih penting dari itu, tujuan asal kita datang ke Mesir. Ketika saya sampai dahulu, saya telah pasak niat untuk :

1-menjadi seorang doktor yang hebat dalam bidang yang saya ceburi

2-mendalami ilmu Islam supaya mampu menjadi Huffaz Teknokrat

3-mampu menjadi agen pengubah masyarakat melalui kemahiran bermasyarakat, berpersatuan dan kemahiran pengurusan

Sahabat-sahabat mungkin sebahagiannya mempunyai niat asal yang berbeza dari saya. Mungkin hanya niat yang pertama yang kita kongsi bersama. Sebahagian dari kita mungkin datang dengan tujuan meluaskan pandangan dan berjalan ke merata tempat. Tidak kurang yang datang dengan tujuan memahirkan bahasa Arab atau apa jua niat yang kita telah sematkan dalam hati ketika itu.

Sekarang, hampir separuh dari tempoh yang kita rancanguntuk berada di Mesir telah berlalu. Maka satu persoalan patut timbul di minda kita, “Sejauh manakah niat kita telah kita capai?” Jika dinisbahkan dengan waktu, maka sepatutnya kita telah mencapai 50% dari apa yang kita hajatkan. Jika kita merasakan lebih dari itu, alangkah baiknya. Tetapi bagaimana jika tahap pencapaian hajat kita itu kurang dari itu?

Marilah sama-sama kita bermuhasabah dan menilai kembali usaha kita ke arah apa yang kita cita-citakan. Yang pasti, niat kita mestilah kerana Allah SWT dan disertakan dengan keikhlasan.
Buat sahabat-sahabat, 3 tahun yang kita lalui bersama ini, walaupun tidak sepanjangnya gembira, tetapi ia amat bermakna buat saya. Terima kasih sahabat. Semoga ukhuwwah kita berkekalan hingga ke Syurga.

Rabu, Julai 06, 2011

Nilai Halal Dan Haram Dalam Islam

Pendahuluan
Memerhatikan dunia umpama memerhatikan seketul besi yang kian waktu kian berkarat dek kemungkaran dan tangan-tangan manusia yang sendirinya membinasakan. Benarlah Sabda Baginda Nabi Muhammad SAW "Sebaik-baik generasi ialah generasi aku (Sahabat) kemudian yang selepasnya (Tabiin) kemudian yang selepasnya (Pengikut tabiin)". Adapun tugas kita selaku hamba Allah SWT bukanlah untuk bersedih mahupun memencilkan diri dari masyarakat untuk beruzlah, tetapi lebih penting lagi menjadi agen penggerak perubahan masyarakat ke arah yang lebih baik.

Antara punca kerosakan masyarakat hari ini ialah hilangnya penilaian halal dan haram dalam menentukan tindakan individu. Saya melihat segenap lapisan masyarakat telah mula meninggalkan penilaian ini, lebih-lebih lagi dalam usaha mereka mencari rezeki atau kejayaan dalam hidup. Maka terhasillah golongan yang tidak mengira halal atau haram rezeki yang mereka terima.

Mereka lupa Hadis Baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
"daging yang tumbuh dari makanan haram itu lebih layak neraka baginya".

Mereka juga lupa Hadis Baginda Nabi Muhammad SAW:
"Mencari yang halal itu kewajipan bagi setiap Muslim".

Mereka lalai akan Firman Allah SWT:
" Wahai manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi dari yang Halal dan baik, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan, sesungguhnya dia (syaitan) itu bagi kamu adalah musuh yang nyata". (Al-Baqarah : 168)

Juga leka dari Firman Allah SWT ini:
"dan makanlah dari apa yang Allah SWT rezekikan pada kamu dari yang halal dan baik, dan bertakwalah kamu kepada Allah SWT yang kamu imani". (Al-Maidah : 88)

Aplikasi dalam kehidupan pelajar
Sebagai seorang pelajar, rezeki Allah SWT yang kita dapat selalunya diberikan dalam bentuk biasiswa atau bantuan kewangan dari harta zakat atau lain-lain sumber. Selain itu, ilmu yang kita timba juga merupakan rezeki Allah SWT. Begitu juga, kejayaan atau kelulusan yang kita kecapi semuanya datang dari Allah SWT. Maka mengapa ada antara kita yang melupakan Allah SWT dalam usaha mereka mengecapi kejayaan?

Firman Allah SWT
"dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang lupa kepada Allah SWT, sehingga Allah SWT menjadikan mereka lupa akan diri sendiri, merekalah orang-orang yang fasiq" (Al-Hasyr 19)

Jangan dilupakan juga Allah SWT memberi ancaman kepada golongan munafiq yang melupakan Allah SWT
"Golongan munafiq lelaki dan perempuan itu, satu dengan yang lain adalah sama, mereka menyuruh berbuat yang munkar dan mencegah dari yang makruf dan mereka menggenggamkan tangan (bakhil). Mereka melupakan Allah SWT maka Allah SWT melupakan mereka pula. Sesungguhnya golongan munafiq itu golongan fasiq. (67) Allah SWT menjanjikan golongan munafiq itu neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu bagi mereka, Allah SWT melaknat mereka, dan mereka mendapat azab yang berkekalan".

Jangan kita lupa Allah SWT dalam penilaian tindakan kita. Ancaman Allah SWT terhadap golongan yang melupakan-Nya cukup dahsyat. Mencari kejayaan atau sekadar kelulusan perlulah dengan cara yang dibenarkan Allah SWT, dan meniru bukanlah salah satu daripadanya. Begitu juga bertanya rakan di dalam peperiksaan, bahkan membantu rakan meniru menjadikan kita bersubahat dengannya dalam kemungkaran. Lebih teruk lagi, terdapat golongan yang berpakat dalam menyediakan nota padat untuk dibawa masuk ke dalam dewan peperiksaan. Meniru dalam peperiksaan hukumnya Haram berdasarkan Hadis Baginda Nabi Muhammad SAW, "sesiapa yang mengkhianati kami, mereka bukan dari golongan kami". Masya Allah, beratnya ancaman dan amaran Allah SWT dan Baginda Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan Allah SWT menghentikan tindakan golongan sebegini dan memberikan mereka kekuatan untuk menghadapi ujian dengan cara yang terpuji.

Aplikasi sebagai seorang pekerja
Sebagai pekerja pula, tidak dapat tidak kita akan diberi tanggungjawab memegang amanah berupa kewangan atau aset syarikat. Begitu juga, kontraktor selalu mempunyai perjanjian-perjanjian tertentu dalam projek-projek, samada dari sudut kontrakor utama atau sub-kontraktor. Selalu saya dengar pengalaman kontraktor ditipu rakan perniagaan yang lari membawa duit projek. Begitu juga, kontraktor yang menyelesaikan projek dengan mengurangkan kualiti kerja untuk mendapatkan keuntungan lebih. Ada juga yang selalu menyalahguna aset syarikat atau agensi untuk kepentingan sendiri, membawa pulang peralatan pejabat untuk kegunaan peribadi, atau menipu cuti sakit atau 'punch-card' keluar masuk kerja. Semua ini menghilangkan keberkatan rezeki yang kita terima. Ingat! Walaupun bos kita tidak tahu apa yang kita buat, Allah SWT tetap mengetahui, bahkan pengetahuan-Nya meliputi segala yang ada di langit dan di bumi.

Firman Allah SWT :
"dan kunci-kunci semua yang ghaib ada pada-Nya(Allah), tiada yang tahu melainkan Dia. Dia mengetahui segala yang ada di darat dan di laut. Tidak ada sehelai daun yang gugur tanpa pengetahuan-Nya, tidak juga biji dalam kegelapan bumi dan tidak juga sesuatu yang basah dan kering, kecuali tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz)".

Dunia zaman kini, ramai pemimpin yang sanggup menggunakan cara-cara kotor untuk mengekalkan kuasa. Rasuah, ugutan, hiburan, penipuan, konspirasi, semuanya bukanlah satu cara yang dibenarkan Allah SWT, justeru, ia haram dan hasil-hasil daripadanya juga haram untuk individu. Begitu juga, penipuan dalam pilihanraya, taktik-taktik kotor, dan medan perlawanan yang tidak sama rata. Saya melihat apa yang dibawa oleh BERSIH sebagai bermanfaat untuk semua, baik kerajaan mahupun pembangkang. Jika kerajaan melaksanakan apa yang dituntut iaitu keadilan dalam pilihanraya, ia dilihat sebagai satu usaha murni yang akan meningkatkan kredibiliti kerajaan dari sudut pandangan rakyat, justeru meningkatkan undi yang diterima, dan yang paling penting, memastikan rezeki yang diterima hasil pilhanraya yang adil itu halal untuk wakil-wakil rakyat, dan diberkati Allah SWT.

Penutup
Rezeki yang haram akan memudaratkan diri kita dan semua tanggungan kita. Saya yakin ada antara kita pernah merasai pengalaman melihat individu yang walaupun bergaji kecil, hidup mereka bahagia tanpa menghadapi masalah kewangan. Begitu juga, saya yakin ramai antara kita yang pernah mengalami peristiwa membeli barang yang berjenama, tetapi lebih cepat rosak berbanding rakan kita yang membeli barang yang murah. Rezeki itu milik Allah SWT, Dia akan beri pada sesiapa yang Dia kehendaki. Mencari rezeki dengan cara yang haram hanya mengundang kemurkaan-Nya, justeru menghalang diri dari menerima rezeki yang diberkati-Nya. Kadangkala minda manusia tidak dapat memahami perihal keberkatan, namun kesannya dirasai dan jelas nyata. Sesungguhnya, sedikit dari yang halal itu lebih baik dari seinfiniti dari yang haram.

Ingatlah, kita meyakini bahawa kematian itu pasti, maka persiapkanlah diri untuknya. Kita meyakini bahawa akhirat itu pasti, maka bawalah bekalan menghadapi

Ingatan ini saya tujukan untuk semua, lebih-lebih lagi diri ini yang sering terlupa, dan semua umat Islam lain yang kadangkala terlupa. Memang manusia itu selalu lupa, justeru peringatan perlu sentiasa diberi. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati kita semua.

Sabtu, Oktober 23, 2010

Islamic Fashion Festival : Satu Penilaian Ilmiah

Islamic Fashion Festival telah diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Sebahagian melihat ia sebagai satu usaha murni, sebahagian lain melihat ia sebagai satu propaganda politik. Bukanlah perbahasan ini yang saya ingin bincangkan di sini. Saya cuba menilai penganjuran IFF kali ini secara ilmiah dan profesional, supaya kita menilai sesuatu perkara bukan atas dasar 'siapa yang melakukan' tetapi 'apa yang dilakukan'.

Pertama sekali, penganjuran IFF kali ini merupakan kesinambungan kepada satu gelombang kebangkitan program Islamik yang besar di Malaysia, selepas penganjuran Rancangan TV Akademi Al-Quran, Akademi Nasyid, Imam Muda, dan lain-lain. Ternyata keperluan kepada hiburan Islamik sebagai alternatif kepada hiburan ala-Barat telah mula dirasai, maka terhasillah program-program seperti ini.

Pada pendapat saya, penggunaan nama 'Islam' pada sesuatu program perlu diselaraskan dengan pembawakan program tersebut supaya tidak dilabel sebagai 'mempergunakan nama Islam'. Dalam kes IFF, banyak lagi sudut yang boleh diperbaiki, terutama yang melibatkan hukum-hakam Islam. Lihat gambar-gambar di bawah :


Saya dapatkan gambar ini di web rasmi IFF.
http://www.islamicfashionfestival.com.my/index.php?option=com_content&view=article&id=62&Itemid=76

Daripada 5 gambar yang ditonjolkan, ternyata tidak satu pun menepati Syariat pemakaian mengikut Islam yang sebenar. Antaranya :
1-Aurat Muslimah tidak ditutup dengan sempurna. Rambut, belakang badan, betis, leher, lengan atas siku, bahagian atas dada adalah aurat bagi wanita.
2-Penggunaan warna yang cerah dan hiasan yang berlebih-lebihan.
3-Pakaian ketat menzahirkan susuk tubuh.

Penggunaan nama perlu selaras dengan pembawakan. Ternyata IFF kali ini tidak mengambil berat perkara ini. Bagi saya jika ingin menggunakan nama Islam, pastikan ia benar-benar 'Islamik', bukan retorik untuk mencari keuntungan peribadi. Telah banyak rekaan fesyen yang benar-benar Islamik, bahkan telah ditayangkan dalam IFF kali ini. Lalu mengapa pakaian-pakaian yang tidak Islamik ini juga dibiarkan untuk tayangan?

Selain itu, perlu diingatkan kepada semua bahawa kecantikan wanita tidak boleh dipamerkan untuk tatapan umum. Bukan kerana wanita itu tidak cantik, tetapi adalah untuk memastikan tiada hati-hati bermasalah yang menggunakan kecantikan itu untuk melampiaskan nafsu peribadi. Dalam Islam, kedudukan wanita sebenarnya lebih tinggi dari apa yang diamalkan masyarakat sekarang. Kecantikan wanita adalah untuk suami, justeru, tidaklah boleh ia dipamerkan kepada mana-mana lelaki Ajnabi lain. Bagi IFF, alangkah baiknya sekiranya ia dijalankan seperti Nisa' Games, di mana fesyen dan kecantikan wanita hanya ditunjukkan sesama wanita. Penganjuran sebegini lebih menepati Konsep Islam yang ingin dibawa, dan lebih menonjolkan Islam dalam bentuk dan pembawakan sebenar.

Pepatah Melayu, 'alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan'. Bercerita tentang IFF, hati ini tergerak untuk mengingatkan semua masyarakat tentang adab berpakaian Muslimah. Kian hari perkara ini semakin dilupakan. Antara kesilapan pemakaian yang selalu berlaku :

1- Bertudung tetapi tidak menutup dada.
ingat "labuhkanlah tudung mereka ke atas dada mereka" (An-Nur : 31). Bentuk buah dada wanita, walaupun ditutup dengan baju, selalunya menimbulkan syahwat lelaki.

2- Menutup semua aurat tetapi pakaian terlalu ketat
ingat Hadis Nabi Muhammad SAW berkenaan perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang. Kesilapan ini selalu berlaku bagi mereka yang memakai seluar, atau mereka yang memakai baby t-shirt. Bentuk tubuh juga antara punca utama timbulnya syahwat.

3- Tudung tidak menutup leher, tetapi sekadar menutup rambut sahaja.
Pemakaian anak tudung sahaja tidak menutup aurat kita mengikut apa yang Allah SWT perintahkan.
Allah SWT telah tegur kita dalam Surah Al-Ahzab ayat 59 - "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan Yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar);"

4- Wangian yang berlebih-lebihan.
Wangian yang dibenarkan hanyalah sekadar mengelakkan badan berbau busuk.

5- Warna yang terlalu terang.

6- Pakaian terlalu nipis.
Apabila berdiri di hadapan cahaya, akan terlihatlah apa yang sepatutnya tersembunyi.

Dan lain-lain adab berpakaian sebagai seorang Muslimah. Lebih mudah jika kita merujuk gambar di bawah. (Terima kasih kepada pereka grafik ini, mudah-mudahan ilmu yang disebarkan menjadi bekalan di Akhirat)


Apa tujuan kita mematuhi semua ini? Lihat Ayat 59 Surah Al-Ahzab :

yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan Yang baik-baik) maka Dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani...

p/s : Saya tidak pasti peristiwa di bawah ini kesilapan atau disengajakan. Jika kesilapan, segeralah memohon maaf kepada hati-hati Umat Islam yang lecewa dengan apa yang berlaku. Jika ia sesuatu yang disengajakan, saya akan berjuang bermati-matian mempertahankan agama Ilahi yang dicintai. Lihat gambar di bawah dan rujuk blog ini untuk maklumat.

http://episodeperjuangan.blogspot.com/2010/10/memo-taubat-buat-rosmah.html


Jumaat, Julai 30, 2010

Berjalan Tak Tengok Depan, Terhantuk Tiang Realiti

Alhamdulillah, telah selamat perjalanan pulang saya ke tanah air tercinta Malaysia pada 21 Julai 2010. Seronok rasanya menjamu mata melihat wajah keluarga tercinta di depan mata, satu kurniaan dari Allah SWT. Walaupun hanya 2 tahun, tidak dinafikan banyak yang sudah berubah. Mungkin perkara tersebut telah berubah, atau mungkin cara diri ini menerima persepsi yang telah berubah. Bukanlah hajat di hati ini untuk membincangkan perubahan-perubahan tersebut, tetapi saya melihat terdapat satu perubahan besar yang wujud berkaitan agama rasmi negara kita, Islam.

Apa kaitan tajuk dengan apa yang saya ingin sampaikan? Baca artikel di bawah.

Sampai sahaja di Malaysia, saya dibawa makan di sebuah restoran sekitar Bangsar bersama keluarga. Apa yang saya dapati amat mengejutkan. Sekumpulan muda-mudi sedang duduk makan di sebuah meja berdekatan dangan pakaian yang sangat menjolok mata. Cukuplah saya gambarkan pakaiannya sebagai mendedahkan lebih 2 per 3 dari paha mereka, dan menutup hanya lebih kurang 1 per 3 dari tubuh mereka. Dan tiadalah wujud tanda malu atau rasa bersalah pada mereka dengan mengenakan pakaian sebegitu. Satu pemandangan yang saya tidak dapat lihat sebelum saya meninggalkan tanah air 2 tahun lalu. Dalam masa 2 tahun, akhlak muda-mudi boleh runtuh seteruk itu? Dimana silapnya kita dalam melaksanakan dakwah dan menerapkan Islam dalam masyarakat?
Selang beberapa hari, saya sampai di rumah saya di Johor Bahru. Membelek-belek akhbar Utusan Malaysia yang dilanggan di rumah, saya mendapati satu lagi tanda keruntuhan akhlak yang tidak dibendung. Hampir setiap hari, terpampang berita di dada akhbar akan kes-kes buang bayi, dalam tong sampah, depan pintu pagar, dan bermacam-macam lagi. Begitu juga, kes-kes jenayah yang pelik dan menghairankan diberitakan, antaranya kes bapa bunuh keluarga, bapa simbah asid ke muka anak dan isteri, dan lain-lain kes yang cukup memilukan. Pelik dan hairan. Di mana kasih ibu kepada seorang anak? Di mana pula rasa tanggungjawab seorang bapa kepada keluarga?
Yang lebih menghairankan lagi, komen-komen pemimpin dalam akhbar teresebut langsung tidak menggambarkan kefahaman sebenar beliau terhadap isu dan masalah tersebut. Menyediakan rumah kasih sayang untuk anak-anak terbiar tidak akan menyelesaikan masalah. Begitu juga mewujudkan nombor telefon aduan, tidak menyelesaikan masalah tersebut di peringkat akar umbinya. Mengapa tidak mahu mengakui hakikat bahawa akhlak remaja telah runtuh dan hancur lebur? Mengapa tidak mengakui bahawa penyelesaiannya ialah menerapkan Islam dalam kehidupan?

Setelah itu, terjumpa pula satu surat pembaca dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17 Ogos 2010. Saya sempat mengambil gambar surat tersebut untuk renungan kita.

Keratan akhbar Utusan Malaysia 17 Ogor 2010

Rupanya telah wujud segolongan Umat Islam yang telah berani mempersoalkan pengamalan agama Islam di negara ini. Dengan beraninya mempersoalkan pengamalan Tarawih 20 rakaat yang biasa diamalkan di masjid-masjid. Berani juga melabelkan mereka yang mengamalkan 20 Rakaat Tarawih sebagai "Hardcore" dan "Heavyweight"!!! Hujah yang digunakan bagi saya menampakkan kurangnya kefahaman dalam amalan Solat Tarawih itu sendiri. Jelas juga menunjukkan tiada rasa ingin menghayati dan menghargai kedatangan Ramadhan yang mulia. Saya ingin bertanya kembali kepada sekelian pembaca, wujudkah golongan yang melarang jemaah mana-mana masjid atau surau untuk mendirikan solat Tarawih 8 Rakaat? Jika tidak mahu mendirikan 20 Rakaat, jangan persoalkan mereka yang ingin mendirikannya, sila beredar selepas 8 Rakaat, tiada siapa melarang.

Begitu juga alasan bahawa anak kecil merasa keberatan mendirikan 20 Rakaat. Ini kesilapan siapa? Silap kita dalam mendidik generasi muda atau silap pihak masjid mendirikan 20 Rakaat?


Sedih dan pilu hati melihat keruntuhan Islam di Malaysia. Tidak dinafikan pihak kerajaan sepatutnya memainkan lebih peranan dalam hal ini. Namun, apa peranan kita selaku generasi pelapis kepimpinan negara?

Tidak dapat tidak kita perlu melengkapkan diri dengan kemahiran berdakwah. Ingat! Target dakwah kita bukan hanya golongan muda, tetapi di Malaysia, kita perlu menyampaikan Islam kepada semua, tua dan muda, dari Polis hinggalah kepada penjenayah.

Amat mudah sekiranya kita gambarkan proses dakwah ini sebagai sebuah hidangan. Semua perlu dihidangkan dengan hidangan Islam yang terbaik yang kita mampu sajikan, kemudian terpulang kepada mereka untuk menyuapkan hidangan tersebut ke dalam hati-hati mereka. Begitu juga, tidak semua mampu menghabiskan hidangan tersebut sekali makan. Sebahagiannya perlu 2 hingga 3 kali hidangan untuk menghabiskan hidangan Islam yang kita sajikan, lebih-lebih lagi mereka yang telah memakan hidangan lain sebelum disajikan dengan hidangan Islam. Cubaan untuk memaksa mereka menghabiskan hidangan Islam itu hanya akan menyebabkan mereka tercekik dan termuntah kembali, justeru menyukarkan lagi proses penghabisan hidangan Islam tersebut. Bahkan, kemungkinan mereka tidak akan lagi memakan apa-apa hidangan dari kita kerana cubaan yang terlalu memaksa tersebut.

Berdasarkan pemerhatian saya, sebahagian besar dari kita cukup hebat dan mahir dalam menyediakan hidangan tersebut, namun langsung tidak pandai mempersembahkan hidangan tersebut kepada pelanggan. Begitulah ibaratnya mereka-mereka yang mahir selok-belok agama, tetapi tidak mahu mempelajari teknik-teknik berdakwah dan menyampaikan ingatan secara berhikmah. Ibaratnya makanan yang disediakan oleh hotel-hotel ternama kadangkala tidaklah sesedap warung-warung tepi jalan, bahkan jauh lebih mahal. Tetapi bezanya hotel tahu dan mahir cara-cara mempersembahkan makanannya supaya kelihatan sedap dan menarik, sedangkan warung tepi jalan menghidangkan makanan hanya sekadar perlu.

Begitulah bandingannya, dan inilah realiti manusia. Justeru, jika kita seronok berjalan tanpa mengetahui matlamatnya, sampai satu masa kita akan terhantuk realiti. Jangan sampai terhantuk, dan jika sudah terhantuk jangan lupa untuk berdiri semula.

Artikel ini ditulis bukan hanya untuk dibaca, tetapi dihayati isinya dan diamalkan apa yang baik darinya. Bahkan saya tidak kisah jika artikel ini tidak dibaca tetapi mesejnya sampai di hati-hati kita semua.

Selamat Menjalani Madrasah Ramadhan!!!

Rabu, Mei 05, 2010

Sayangi BKPJM



Sekian lama blog ini menyepi. Kesibukan bekerja dalam Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) justeru menambahkan lagi rasa cinta dan semangat untuk lebih menyumbangkan tenaga dan masa yang ada demi kebajikan mahasiswa Johor di Mesir. Semakin lama memegang amanah, semakin dalam jugalah kefahaman saya berkaitan organisasi BKPJM. "Tak kenal maka tak cinta", begitulah kata pepatah. Bahkan saya semakin mengenali BKPJM, semakin mencintainya. Banyak jasa BKPJM kepada mahasiswa Johor Mesir. Bermula dari kedatangan pelajar sehinggalah kepulangannya, begitu juga urusan-urusan kematian, semuanya diuruskan oleh BKPJM. Kira sahaja berapa ramai lulusan Al-Azhar yang terhutang budi dengan BKPJM.

BKPJM lahir hasil dari usaha dan titik peluh generasi Azhari terdahulu. Bermula pada tahun 1970 dengan sekadar suatu pertubuhan yang hanya bertugas mengagihkan derma yang digelar Tabung Dana Pelajar Islam Johor(TDPIJ), ia bertindak memenuhi keperluan pelajar Johor Mesir dengan mengadakan kelas-kelas tafaquh demi menjana kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar. Selain itu, TDPIJ mengadakan sambutan-sambutan perayaan dan hari kebesaran. Bermula tahun 1976, usaha TDPIJ mendapatkan sebuah Asrama untuk pelajar Johor dipergiatkan dengan menghantar rombongan untuk berjumpa Menteri Besar Johor ketika itu, YAB Dato' Abdul Ajib Ahmad. Bukan sekadar itu, usaha meminta sumbangan dari ahli, jemaah haji, dan rakyat Malaysia juga digiatkan. Hasil usaha tersebut, dapatlah kita mengecapi nikmat kewujudan Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin yang sekian lama dihuni dan dimanfaatkan oleh pelajar Johor sehingga ke hari ini.

Bermula 1982, TDPIJ digantikan dengan Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir(BKPJM). gerak kerja BKPJM dimulakan dengan menyambut kedatangan Sultan Johor dan Menteri Besar Johor, YAB Dato' Abdul Ajib Ahmad untuk Majlis Perasmian Asrama Penuntut Melayu Johor(nama yang tercatat pada plak perasmian di Asrama Pelajar Johor H8). Selain itu, BKPJM juga menyampaikan permintaan ahli untuk mendapatkan peruntukan surau, dewan dan perpustakaan kepada YAB Dato' Abdul Ajib Ahmad.

Seterusnya, BKPJM menyambut kunjungan Rombongan Kerajaan Negeri Johor diketuai YAB Dato' Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Johor pada tahun 1988. 1989, BKPJM telah membantu Jabatan Penuntut Malaysia dalam memperbaharui urusan memperbaharui pengiktirafan sijil Maahad Johor di peringkat Universiti Al-Azhar.

Sejak itu, BKPJM tidak pernah lekang dari kerja-kerja menguruskan kebajikan pelajar-pelajar yang datang ke Mesir. Begitu juga, kunjungan demi kunjungan oleh Kerajaan Johor dari berbagai peringkat tidak sekalipun dibiarkan oleh BKPJM tanpa sambutan dan layanan yang terbaik yang mampu dihidangkan.

Kebelakangan ini, ahli-ahli BKPJM semakin jauh dengan BKPJM. Lupakah kita bagaimana BKPJM membantu kita ketika kita mula menjejakkan kaki di bumi Mesir ini? BKPJMlah yang menyediakan 'abang-abang lama' untuk membimbing kita dalam segenap aspek kehidupan di Mesir. BKPJMlah yang menyambut kita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. BKPJMlah yang menyediakan bagi kita penginapan yang cukup selesa, khusus untuk adik-adik baru. BKPJMlah yang menunjukkan jalan ke kuliah, dan BKPJM jugalah yang membantu menguruskan pelbagai urusan kuliah yang mencabar, lebih-lebih lagi berurusan dengan Arab Mesir yang pelbagai kerenah. Ketika kita ditimpa musibah, BKPJMlah yang menghulurkan bantuan, tidak kira dari segi kewangan ataupun dari sudut lain. Bagaimana akan kita temui sahabat sekampung sedaerah senegeri jika tidak melalui BKPJM?

Ingat sejarah kita. BKPJM dahulu hanya berfungsi mendapatkan dan mengagihkan derma. Ketika itulah, wujud permintaan untuk BKPJM melebarkan sayapnya dan menguruskan segenap aspek kebajikan pelajar, dari sudut tafaquh hinggalah sukan dan kebudayaan. Dari ketibaan pelajar hinggalah menyambut kunjungan rombongan kerajaan Negeri Johor, mahupun kepulangan pelajar. BKPJM cuba merealisasikan semua hasrat itu. Mungkin ada kekurangan, tapi itu bukanlah alasan untuk kita melupakan jasa-jasa BKPJM kepada diri kita dan generasi Azhari terdahulu. Ironisnya, generasi Azhari kini pula yang ingin mengembalikan BKPJM kepada takuk lama dengan menganggap BKPJM hanya tempat untuk mendapatkan zakat. Saya bimbang generasi Azhari terkemudian akan lupa sejarah kita dan seterusnya membawa BKPJM berpatah balik dari kemajuan kepada kemunduran. Benarlah kata-kata Tunku Abdul Rahman, "kita perlu merenung kembali sejarah kita, kerana jika kita tidak melihat ke belakang, kita tidak akan tahu apakah kita sedang melangkah ke hadapan atau ke belakang".

Kerana itulah, apabila BKPJM semakin dikenali, ia semakin disayangi.

Saya Sayang BKPJM.

Isnin, Mac 15, 2010

Inginkan Ingatan Yang Kuat?

"Arrrggghhh!!!! Tensionnye!!!! Dah studi pon tak ingat!!"

Dialog-dialog di atas merupakan perkataan yang selalu diungkapkan oleh kebanyakan pelajar. Tidak kira pelajar itu pelajar pengajian Islam, perubatan, mahupun jurusan-jurusan lain. Ternyata kebanyakan pelajar Melayu kurang diberi pendedahan tentang teknik-teknik menguatkan ingatan. Yang selalu ditekankan apabila tiba musim peperiksaan ialah teknik menjawab soalan, teknik mudah matematik, dan teknik-teknik lain yang sememangnya berguna, tetapi hanya ketika musim peperiksaan dan bersifat jangka pendek. Maka terhasillah pelajar-pelajar Melayu yang 'studi untuk exam, lepas exam semua lupa'. Akibatnya, pelajar Melayu akan menghadapi masalah apabila mereka mula menjejakkan kaki di dunia universiti. Di sini, khususnya bagi mereka yang belajar di luar negara, golongan-golongan yang tidak benar-benar mengingati, menguasai dan memahami bidang yang diceburi pasti tidak akan cemerlang. Ini kerana pembelajaran di universiti lebih bersifat praktikal dan lebih ke arah amali, sebaliknya pembelajaran di sekolah lebih bersifat teori dan lebih menumpukan ke arah kecemerlangan peperiksaan.

Sepanjang saya mempelajari ilmu-ilmu perubatan yang dicurahkan oleh pensyarah-pensyarah Universiti Al-Azhar (kesemuanya lulusan PhD dari pelbagai universiti serata dunia, dan terlibat dalam pelbagai kajian saintifik yang tidak mampu saya sebutkan di sini dek kerana terlalu banyak), saya sempat mendapatkan beberapa petua yang berguna dalam memantapkan ingatan. Saya cuba menyimpulkan petua-petua tersebut dalam catatan kali ini, mudah-mudahan ia menjadi rujukan berguna buat kita semua dalam kehidupan harian kita, khususnya dalam pelajaran dan pekerjaan kita.

p/s: buat para pendidik, terapkanlah petua-petua ini kepada anak-anak didik. Kepada sahabat-sahabat penuntut ilmu, sama-samalah kita menjadi golongan yang mendengar perkataan dan mengambil yang baik darinya.

1 - Ilmu itu milik Allah. Maka seeloknya kita meminta dari Allah untuk segala ilmu dan pengetahuan yang ingin kita hafal. Hadis Nabi Muhammad SAW yang mafhumnya bermaksud ilmu Allah itu umpama lautan, dicucuk jarum dan setitis yang melekat pada jarum itulah ilmu Allah yang diberi kepada manusia. Justeru, mintalah ilmu dari Allah, dan mintalah kekuatan ingatan juga dari Allah, kerana Allah yang menjadikan kita dan Maha Kuasa untuk mengubah kejadian kita.

Teori lama mengatakan sel-sel baru akan terbentuk selaras dengan penyimpanan memori, tetapi kajian saintifik terbaru menunjukkan bahawa sel-sel otak akan berubah secara struktur apabila sesuatu data disimpan, dan sekaligus menafikan teori lama di atas. Ingatlah, sesungguhnya sel-sel tersebut tidak akan berubah sama sekali melainkan dengan izin dan kuasa Allah, Tuhan Yang Menguasai diri kita dan segala struktur di dalamnya.

2 - Ilmu itu cahaya, dan tidak ada cahaya dalam kegelapan. Kegelapan di sini dimaksudkan secara maknawi merujuk kepada maksiat. Tiada cahaya dalam kegelapan, maka tiadalah juga ilmu dalam kemaksiatan.

Maksiat menggelapkan hati dan mengeraskannya dari menerima sesuatu yang positif. Secara psikologi, perlakuan maksiat akan menyebabkan pemikiran kita hilang fokus. Lelaki yang selalu melihat sesuatu yang menaikkan nafsu syahwat akan teringat-ingat kepada perkara tersebut. Begitu juga pasangan yang saling mencintai akan menyebabkan mereka saling terbayang antara satu sama lain. Kebiasaannya, gangguan ini akan datang ketika minda sedang berusaha menumpukan kepada pembelajaran, justeru mengganggu fokus minda kita.

3 - Masa optimum untuk mengulangkaji. Masa terbaik ialah semasa badan kita segar dan kurang gangguan luar. Seeloknya, ulangkaji selepas tidur sebentar lebih membantu dalam penyimpanan memori. Antara masa terbaik ialah sebelum dan selepas solat Subuh dan selepas solat Maghrib.

4 - Wujudkan masa rehat untuk otak kita. Masa rehat ini bukan digunakan untuk berbual, menonton televisyen, dan lain-lain aktiviti yang mengganggu tumpuan otak. Tetapi masa ini merupakan masa untuk memanggil balik data-data yang telah disimpan dalam otak kita. Tutuplah buku, cuba untuk mengeluarkan kembali informasi yang telah dipelajari. Antara kaedah yang baik ialah dengan sesi pembelajaran selama 20 minit, kemudian diselangi sesi rehat selama 10 minit.

5 - Keadaan sekeliling membantu penyimpanan memori. Cuba dapatkan keadaan yang tidak terlalu senyap sehingga mengantuk, tetapi tidak pula terlalu terlalu bising sehingga tumpuan terganggu. Seeloknya dapatkan keadaan dengan sedikit bunyi-bunyian yang tidak menarik perhatian, dan bacaan Al-Quran yang perlahan merupakan bunyi yang terbaik untuk digunakan, dengan harapan kita mendapat keberkatan Al-Quran itu sendiri. Muzik akan mengganggu tumpuan otak secara tidak disedari, justeru, jauhkan diri dari mengulangkaji berlatarbelakangkan muzik.

6 - Menggunakan sebanyak mungkin cara mendapatkan memori. Memori boleh didapati dengan melihat dan membaca, mendengar, menulis, amali, dan memikirkan. Kepelbagaian penggunaan cara ini boleh merangsang sensitiviti penyampaian maklumat antara neuron(synaptic sensitization). Contohnya, membaca dengan suara rendah, menulis kembali ilmu, dan menjawab soalan tentangnya boleh memudahkan ingatan.

7 - Pengulangan. Ulanglah bacaan, setelah itu ulang lagi. Penghafal Al-Quran menghafal kalam-kalam Allah dengan teknik ini. Ayat-ayat tersebut diingati tulisannya, bacaannya, cara menyebutnya, kadangkala kedudukan ayat pada muka surat turut diingati. Ingatan tersebut pula kekal dalam memori mereka selama bertahun-tahun, juga melalui pengulangan. Pengulangan juga bermaksud mengulangkaji pelajaran baru pada hari ia dipelajari. Memori manusia terdedah kepada perubahan dan gangguan semakin lama ia tidak diulangi.

8 - Menghubungkaitkan. Pengalaman sendiri lebih diingati berbanding cerita tentang pengalaman orang lain. Jika kita tidak mampu untuk mendapatkan pengalaman tersebut secara realiti, cubalah dapatkan pengalaman tersebut secara bayangan atau imaginasi. Bayangkan kitalah tokoh yang disebut dalam buku teks sejarah itu, atau kaitkan ia dengan pengalaman lampau kita, contohnya kemerdekaan negara dikaitkan dengan permulaan kita hidup berjauhan dengan ibu bapa, atau perjanjian Pangkor dengan perjanjian yang kita pernah buat. Perbandingan antara 2 subjek yang lebih kurang sama membantu dalam penyimpanan dan panggilan semula data.

9 - Bahan yang merangsang ingatan. Kurma, kismis, habbatus sauda', dan lain-lain makanan daripada Sunnah Nabi Muhammad SAW sudah pastinya membantu ingatan, kerana kita yakin Nabi Muhammad SAW merupakan contoh terbaik dalam segala aspek kehidupan. Selain itu, teh dan kopi dalam kuantiti yang sesuai boleh membantu dalam penyampaian maklumat antara neuron, justeru membantu ingatan.

Mudah-mudahan Allah menerima usaha saya yang sedikit ini. Sekian, wassalam.