Rabu, Februari 10, 2010

Perpindahan Saya dan Hijrah Rasulullah SAW

Assalamualaikum WBT.

"Sesungguhnya amal itu dengan niat, dan sesungguhnya untuk setiap perkara itu apa yang diniatkan. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasulnya maka hijrahnya itu untuk Allah dan Rasulnya. Dan barangsiapa yang berhijrah untuk dunia yang diingini atau perempuan yang dinikahinya maka hijrahnya itu untuk apa yang diniatkannya."

(Mafhum Hadis Pertama daripada Hadis 40 Imam Nawawi)

Alhamdulillah, selesai saya memindahkan dan mengemas barang-barang di rumah baru semalam. Rupa-rupanya tanpa disedari banyak juga barang saya di sini. Waktu tiba di sini dulu hanya sebuah beg kotak, sebuah beg laptop, sebuah beg galas, dan sebuah beg bimbit yang semuanya boleh diangkut sekali jalan. Sekarang, ditambah dengan beberapa kotak buku, meja belajar dan lain-lain menjadikan perpindahan sangat sukar sekali. Terima kasih kepada semua yang membantu, mudah-mudahan Allah membalas segala jasa kalian.

Bercerita tentang hijrah, teringat hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah. Hijrah yang dibuat secara rahsia, meninggalkan harta benda kesayangan di rumah, berhadapan dengan tentangan Musyrikin, dan terpaksa berpanas sepanjang perjalanan menjadikan saya bersyukur perpindahan saya tidaklah sesusah itu.

Saya bukanlah ahlinya untuk menceritakan tentang hijrah Rasulullah SAW satu persatu beserta riwayatnya. Namun saya cuba mengambil beberapa intipati yang boleh kita sama-sama ambil iktibar, antaranya:

1. Besarnya kesanggupan Nabi Muhammad SAW dan para Sahabat RA untuk berkorban demi satu perintah Allah. Meninggalkan harta, keluarga, kampung halaman, dan membawa diri dan Iman kepada Allah. Bandingkan diri kita dengan mereka, betapa jauhnya nilai Iman mereka dengan kita. Diminta untuk memboikot barangan keluaran Yahudi dan Amerika Syarikat pun menjadi masalah. Korbankanlah kegemaran dan kesukaan kita itu demi Umat Islam Palestin. Mungkin kita berfikir, 'kalau aku tidak beli syarikat itu hanya rugi seringgit atau sedolar, banyak lagi keuntungan syarikat itu', maka katakan padanya bahawa ketika Nabi Ibrahim AS dibakar oleh Namrud durjana, seekor burung gagak telah mengambil air dengan paruhnya yang kecil untuk memadamkan api yang marak seperti raksasa. Ditanya mengapa gagak berbuat demikian, jawapannya mudah. 'Memang air sedikit ini tidak akan memadamkan api kecuali dengan izin Allah, tetapi sekurang-kurangnya saya ada jawapan apabila ditanya berkaitan ini di hadapan Allah kelak'.

Bagaimana dengan kita?

2. Hijrah bukanlah hanya bermaksud perpindahan fizikal dari satu tempat ke tempat lain, tetapi juga boleh dimaksudkan dengan perpindahan kerohanian dari sesuatu yang buruk kepada yang lebih baik. Teringat satu ayat Al-Quran yang bermaksud:

"Dan tidaklah ada bagi seseorang mukmin atau mukminah itu jika Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu perkara itu akan pilihan lain baginya selain ketetapan tersebut"(Al-Ahzab:36)

Berbalik kepada konteks masyarakat kita zaman kini, maksiat kini berleluasa tanpa kawalan. Allah telah menetapkan bahawa arak itu Haram, rokok itu Haram, Riba itu Haram, berpasang-pasangan lelaki dan perempuan ajnabi itu Haram, jenayah itu Haram, dan berbagai-bagai lagi perkara Haram yang dianggap halal oleh masyarakat. Begitu juga keadaan perkara-perkara yang diwajibkan Allah tetapi dianggap seolah-olah tiada nilai oleh masyarakat. Contohnya, Hudud dan Qisas, Amar Makruf Nahi Munkar, kewajipan berintima' kepada jemaah Islam, dan banyak lagi kewajipan-kewajipan sebagai Muslim yang tidak terlaksana.

Di mana kita dalam ayat di atas jika kita masih leka mengabaikan perintah-Nya dan melanggar larangan-Nya?

Cukuplah dua iktibar yang dapat saya sampaikan walaupun hakikatnya banyak lagi yang boleh kita ambil dari Sirah Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Hijrah. Mudah-mudahan kita sama-sama dapat mengamalkan segala ilmu yang kita tahu dan bersungguh-sungguh menggapai keredhaan-Nya.

Sekian, wassalam...

Yang mengharap redha Allah,
Muhammad Yazid Bin Hanzir

Tiada ulasan:

Catat Komen