Sabtu, Disember 05, 2009

Peperiksaan Hampir Tiba !!!

Assalamualaikum W.B.T

Sekali lagi musim peperiksaan telah menjelang. Peperiksaan bagi kita sebagai pelajar memang bukan suatu benda yang asing. Sistem pembelajaran kita di Malaysia memang menekankan kepada kecemerlangan peperiksaan. Ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun, peperiksaan akhir tahun, UPSR, PMR, SPM, STPM, STAM dan lain-lain peperiksaan merupakan antara jenis peperiksaan yang masyhur di Malaysia. Namun bukan hajat saya memperkenalkan jenis-jenis peperiksaan di sini. Peperiksaan memang menjadi kayu ukur kita dalam menentukan kecemerlangan seseorang. Tetapi persoalannya, adakah peperiksaan adalah segala-galanya?

Sebahagian manusia, khususnya yang bukan Islam, mempunyai pemikiran bahawa akademik itulah segalanya. Hancur akademik, hancurlah hidupnya. Perkara ini dapat dilihat pada orang Jepun dan Amerika Syarikat yang mempunyai kadar bunuh diri yang tinggi. Di Malaysia juga perkara ini berlaku, tetapi lebih tertumpu kepada kamu Cina dan India. Seringkali kita dengar kejadian-kejadian bunuh diri yang berlaku akibat kegagalan dalam peperiksaan atau tidak mendapat keputusan yang memuaskan. Kisah yang saya dengar dari seorang rakan saya yang menyatakan bahawa pelajar Cina di kolej-kolej Matrikulasi mempunyai satu pemikiran bahawa 4 flat adalah segala-galanya. Maka jika ditakdirkan Allah dia mendapat 3.8 atau kebawah, dia menganggap bahawa dunianya telah tamat. Ini mentaliti manusia yang hidup tanpa berpandukan wahyu Ilahi. Mereka putus asa dengan rahmat Allah sebagaimana disebut dalam ayat 87 Surah Yusuf yang bermaksud : sesungguhnya tidak putus asa (seseorang) dengan rahmat Allah kecuali kaum kafirin.

Saya secara peribadi berpendapat bahawa peperiksaan memang perlu dalam kehidupan seorang pelajar. Tanpa peperiksaan, kita tidak dapat membezakan antara pelajar yang benar-benar berusaha dan pelajar yang belajar sekadar sahaja. Peperiksaan merupakan kayu ukur yang digunakan untuk membezakan antara siapa yang layak mendapat tajaan dan yang tidak layak. Namun perlu ditekankan di sini bahawa ia bukan segalanya. Tidak boleh dikatakan bahawa pelajar yang mendapat keputusan akademik kurang memberangsangkan itu akan gagal seumur hidupnya.

Mengapa saya berpendapat sebegini? Saya sebenarnya sebelum menjejakkan kaki ke Bumi Anbia memang berpendapat bahawa pelajar yang kurang cemerlang bererti dia kurang berusaha. Namun terbukti saya silap, dan kesilapan ini lebih jelas terbukti di Mesir. Ramai sahabat-sahabat saya dari kalangan pelajar pengajian Islam yang hebat kefahamannya dalam ilmu agama tetapi dalam peperiksaan dia gagal. Dia sangat hebat kefahaman dalam bidang tersebut sehinggakan mampu untuk mengajar rakan-rakannya yang lain, tetapi keputusan peperiksaannya kurang memberangsangkan. Kadang kala pelajar seperti ini bukan tidak faham ilmu tetapi Allah menghendaki mereka untuk berada di sini lebih lama. Kenapa lama di sini? Kerana di sini, Mesir berbeza dengan keadaan Malaysia. Mesir merupakan bumi yang penuh dengan ulama dan aulia. Tinggal lama di sini bererti lebih lama kebersamaan kita dengan para ulama dan aulia. Ia juga bererti kita dapat lebih lama menimba ilmu di sini yang sememangnya terkenal dengan kekayaannya dalam pelbagai bidang ilmu.

Dengan pernyataan ini bukanlah bererti saya langsung tidak mengambil berat akan kepentingan keputusan peperiksaan. Tetapi saya hanya mengingatkan bahawa peperiksaan bukanlah segalanya. Peperiksaan perlu kepada kita sebagai pelajar untuk kita menilai sejauh mana kita menguasai subjek-subjek yang dipelajari.Oleh itu, saya menyeru kepada semua pelajar dan penuntut ilmu, tidak kira di bumi Mesir atau di mana-mana sahaja anda berada, tuntutlah ilmu dan usahakanlah untuk mendapat pangkat yang cemerlang dalam peperiksaan tetapi perlu diingat bahawa peperiksaan bukanlah segala-galanya dalam hidup. Jangan berputus asa jika gagal atau mendapat keputusan kurang memuaskan. Ingatlah Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud:"dan mungkin kamu membenci sesuatu tetapi ia baik untuk kamu, dan mungkin kamu sukakan sesuatu tetapi ia buruk untuk kamu".

Akhir kalam, saya menyeru kepada semua sahabat-sahabat saya supaya kuatkan semangat, teruskan usaha, banyakkan berdoa dan bertawakal kepada Allah. Saya doakan kita semua mendapat kecemerlangan baik dalam bidang akademik dan bidang-bidang lain yang kita ceburi. Ingatlah, kejayaan itu Allah yang beri, maka mohonlah pada Allah dengan setulus hati. Mudah-mudahan kita cemerlang dunia akhirat.

Teruskan usaha, semoga maju jaya.

Sekian, Wassalam.

1 ulasan: