Alhamdulillah, segala puji kita panjatkan kepada Allah tuhan sekelian alam. Tuhan yang menganugerahkan kepada kita molekul-molekul oksigen di atmosfera sebagai asbab penerusan hidup kita, yang menganugerahkan kita dengan badan yang sihat sejahtera yang mana dengannya kita menjalankan aktiviti seharian, yang mengawal setiap degupan jantung kita dan menjadikannya terus berdegup, memberikan kita peluang untuk berbakti dan beramal sedaya upaya kita. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, insan yang menganugerahkan kita dengan sebesar-besar nikmat yang boleh dinikmati di muka bumi, nikmat Islam dan Iman.
Syukur. Satu kalimah yang ringan di mulut, dan hakikatnya, sangat sukar untuk diamalkan. Seorang ustaz menyebut, "dalam seumur hidup kita, jika kita bersyukur sebanyak mana pun, pasti tidak akan cukup syukur kita dibandingkan dengan nikmat Allah. Dan sebanyak mana pun kita bersyukur, banyak lagi nikmat Allah yang kita leka dan lalai untuk syukuri.
Saya ingin membangkitkan satu persoalan buat semua. Pernahkah kita selaku hamba Allah yang hina ini, merenung kedua tapak tangan kita, dan memikirkan dosa-dosa kita yang kita lakukan dengan tangan ini. Bayangkan Allah memberi kita anggota badan yang lengkap untuk digunakan ke arah yang baik, dengan badan ini jugalah kita gunakan untuk melakukan benda yang dilarang oleh Allah. Setiap kali saya memikirkan perkara ini, hati saya menangis memikirkan betapa tidak bersyukurnya diri ini, dengan nikmat mata digunakan untuk filem-filem yang tidak menutup aurat, dengan nikmat harta digunakan untuk membeli perkara-perkara haram, dengan lisan yang ada mengumpat dan mengutuk sesuka hati, dengan tangan yang dikurnia menyakiti dan mengganggu orang sekeliling, dan bermacam-macam lagi maksiat yang telah dilakukan, baik atas kejahilan diri atau kesengajaan.
Saya membawa tajuk ini dengan niat supaya kita sama-sama memikirkan persoalan ini, "sudahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?"
"Maka di antara nikmat-nikmat Tuhan Kamu yang mana hendak kamu ingkari?"(Ar-Rahman : 13)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan